Reply To: Berkenaan harf ataf و

Home Forum Diskusi Umum Berkenaan harf ataf و Reply To: Berkenaan harf ataf و

#3106
Zaharudin Nawi
Zaharudin Nawi
Keymaster

Ahli nahu membahagikan kalimah atau perkataan kepada 3 bahagian iaitu isim, fiil dan harf. Dengan kata lain ketiga-tiga ini merupakan komponen ayat. Isim adalah kata nama atau noun. Fiil adalah kata kerja atau verb. Harf pula kata tugas atau particle.

Harf jamaknya huruf. Alif, ba, ta….waw dan ya juga dinamakan harf atau huruf dalam bahasa Arab samalah dengan bahasa Melayu. Tetapi harf atau huruf dalam grammar bukan alif, ba, ta…waw dan ya ini. Harf atau huruf dalam grammar ialah kalimah yang ada makna tertentu dan tugas tertentu walaupun bentuknya satu huruf seperti waw. Sebab itu kita namakannya sebagai kata tugas manakala Inggeris menterjemahkannya sebagai particle. Tetapi particle ini lebih luas daripada istilah grammar Inggeris. Particle atau huruf bahasa Arab termasuklah prepositions, adverbs, conjunctions dan interjections.

Huruf waw yang dibincangkan itu termasuk komponen huruf yakni kata tugas. Waw banyak tugas dalam bahasa Arab. Sekurang-kurangnya ada 15 makna atau tugas waw. Salah satunya ataf atau sebagai conjunctions . Ia sinonim makna dengan dan dan and. Cuma mereka berbeza dari sudut grammar atau nahu. Waw Arab lebih dalam maknanya daripada dan dan and.

Perlu diingatkan huruf ataf atau conjunction bahasa Arab bukan satu malah banyak. Antaranya waw (و), fa (ف) dan thumma (ثم). Apakah hakikat makna ataf? Secara mudah kita katakan maknanya mengekori. Apa yang mengekori? Ahli nahu mengatakan hukum yang mengekori. Menurut mereka ayat yang terbina sebenarnya untuk menyabitkan hukum. Bila kita mengatakan (ذَهَبَ زَيْدٌ) ertinya kita menyabitkan perbuatn pergi kepada Zaid. Perbuatan pergi itu adalah hukum. Seolah-olah kita menjatuhkan hukum yakni menyabitkan hukum pergi ke atas Zaid. Apabila kita menambahkan waw ataf seperti ayat ( ذَهَبَ زَيْدٌ وَعَلِيٌّ)ertinya kita cuba menyabitkan hukum pergi yang sama ke atas Ali sebagaimana yang terjadi ke atas Zaid. Oleh itu irab Ali akan mengekori irab Zaid. Bacaan irab mereka akan menjadi sama. Sama-sama rafa dengan baris dhammah.

Kemudian mereka menambahkan penjelasan tentang makna waw yakni jika waw digunakan hanya perbuatan pergi ingin disabitkan, bukan turutan. Ertinya ayat itu tidak memfokuskan siapa pergi dahulu. Boleh jadi Zaid. Boleh jadi Ali. Jika kita menggunakan huruf fa (ف) menggantikan waw penjelasan yang sama akan berlaku tetapi berbeza dari sudut turutan. Ini kerana menurut grammarian huruf fa (ف) menjelaskan turutan. Ertinya Zaid yang pergi dahulu kemudian barulah Ali tanpa adanya pemisahan ruang masa. Tetapi jika kita menggunakan thumma (ثم) berlaku turutan juga yakni Zaid dahulu pergi kemudian Ali tetapi dengan tempoh pemisahan yang lama.

Adapun waw diletakkan berdekatan dengan kalimah lain itu hanya teknik penulisan moden sahaja. Cara penulisan dahulu pula waw diletakkan berasingan. Jelas menunjukkan ia kalimah yang asing.

Harapnya penjelasan ini dapat merungkaikan konsep huruf bahasa Arab terutama huruf ataf.

  • January 13, 2014
  • Zaharudin Nawi