Al-Quran dan Embriologi

Sebelum perkembangan ilmu embriologi moden, fahaman yang menguasai ilmuan biologi tentang embriologi manusia ialah teori yang dikenali sebagai preformation (terbentuk awal). Mengikut teori ini, manusia yang sempurna dalam bentuk embrio sudah pun terbentuk di dalam sperma dalam saiz yang begitu kecil, dinamakan sebagai homunculus yang kemudiannya melalui proses tumbesaran sebagaimana selepas kelahiran.

 

Di satu pihak yang lain, terdapat segolongan ahli sains biologi yang berpandangan bahawa manusia terjadi daripada telur yang melalui tahap-tahap pembahagian sel sehingga menghasilkan organ-organnya. Teori ini pada asalnya diasaskan oleh Aristotle kira-kira 2,000 tahun yang lalu dan terkenal dengan nama teori epigenesis.

 

Teori epigenesis tidak mendapat tempat jika dibandingkan dengan teori preformation sehinggalah mikroskop dimajukan pada abad ke 19. Dengan kemajuan mikroskop ahli biologi dapat melihat dengan mata kasar bagaimana embrio terbentuk melalui fasa-fasa perkembangannya yang tertentu. Penemuan ini menyebabkan teori epignesis diterima pakai sebagai teori embriologi moden dan tidak lagi teori preformation.

 

Mengikut teori embriologi moden, apabila berlakunya persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum perempuan maka terbentuklah sel embrio. Ia kemudian akan melalui fasa pembahagian sel sehingga embrio berumur dalam lingkungan dua minggu, bentuknya kelihatan seperti segumpal darah menyerupai seekor lintah, berukuran lebih kurang 0.66 mm, melekat di rahim ibunya.

 

Dari bentuk segumpal darah yang menyerupai seekor lintah, bentuk embrio atau janin semakin kelihatan jelas seperti segumpal daging yang melalui fasa tidak sempurna kepada fasa sempurna dengan pembentukan beberapa organ.

 

Fasa ini juga memperlihatkan pembentukan tulang di lapisan tengah sel-sel gumpalan daging itu. Setelah itu kelihatan tulang dibaluti oleh urat dan otot-otot dengan cepat akibat pembahagian sel yang berterusan. Demikianlah embrio terus berkembang sehingga sempurna pacainderanya. Embrio akhirnya bertukar menjadi bentuk lain iaitu bayi manusia yang sempurna menunggu saat di mana rahim tidak dapat membesar dan menanggung berat lagi. Pada saat inilah tibanya masa kelahiran.

 

Semua tahap tumbesaran sel embriologi ini sudahpun dirakamkan oleh Al-Quran ketika manusia belum lagi mengenal apa itu mikroskop mahupun ultrasound. Allah berfirman:

 

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati berasal daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani yang tersimpan dalam tepat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang-tulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik“. (Surah Mukminun: 14)

 

Tidakkah ayat ini benar-benar memperlihatkan keajaiban Al-Quran? Jika manusia ingin mencari kebenaran maka sudah tentu mereka akan beriman melalui kebenaran-kebenaran Al-Quran yang sukar untuk di tolak oleh akal manusia yang waras.

   

Rujukan:

Quran Saintifik Dr Danial

Mukjizat Ilmiyah Dlm Al Quran- Muhammad Kamil Abdul Samad

http://en.wikipedia.org/wiki/Embryology

http://en.wikipedia.org/wiki/Embryo

 

Oleh: Zaharudin Nawi

  • March 10, 2014
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>