Daripada Air Kami Jadikan Kehidupan

 Air adalah di antara keperluan utama kehidupan. Tubuh manusia misalnya terdiri daripada 55% hingga 78% kandungan air. Untuk hidup manusia memerlukan satu hingga tujuh liter air sehari. Malah dalam kehidupan seharian manusia memerlukan air untuk memasak, membasuh, mandi dan sebagainya. Kerana kepentingan air kepada kelangsungan kehidupan maka dewasa ini manusia telah berusaha menukarkan air laut kepada air yang boleh diminum oleh mereka.

 

Dengan perkembangan ilmu sains air dilihat mempunyai peranan yang amat kompleks. Ia merupakan medium penting bagi sebarang proses metabolisme badan. Proses fotosintesis pada tumbuh-tumbuhan dan pernafasan sel tidak akan berlaku tanpa kehadiran air.

 

Kini ahli sains telah mengesan terdapatnya air di dalam gumpalan gas-gas yang mengelilingi galaksi bimasakti. Malah air juga dipercayai wujud dengan banyak di galaksi-galaksi yang lain. Wap-wap air telah ditemui di beberapa planet seperti Merkuri, Venus, Mars dan sebagainya. Ini menunjukkan air berada bukan sahaja di bumi. Penemuan ini sekaligus menjanakan satu andaian bahawa air ada hubungan dengan asal usul kehidupan primitif.

 

Oleh itu ramai di kalangan ahli sains mempercayai bahawa kehidupan di bumi bermula daripada sel mikrob yang datang dari angkasa. Teori ini dinamakan sebagai “Teori Panspermia”. Ia sudah tentu ada hubungan dengan air kerana setiap sel mikrob akan melalui proses tindakbalas kimia organik dalam perkembangannya.

 

Perkembangan sel peringkat tinggi menunjukkan bahawa sel terbina daripada unit yang paling penting yang dinamakan sebagai protoplasma. Ia dianggap sebagai unit yang hidup dan tanpanya sesuatu sel boleh dianggap mati. Protoplasma terbina daripada berbagai-bagai molekul-molekul kecil dengan sebahagian besar daripadanya terdiri daripada air. Air yang mengisi protoplasma tersebut dianggarkan sebanyak 75% hingga 80% daripada binaannya.

 

Apa yang mengejutkan ialah hari ini saintis mula cenderung mengatakan bahawa kehidupan sebenarnya berasal daripada air. Mereka berhipotesis bahawa kehidupan yang awal di dunia mungkin bermula di bawah lautan kira-kira 9,000 kaki di bawah Lautan Atlantik. Di situ para saintis menemui semburan hidrogen dan mendapati persekitarannya sesuai bagi bermulanya kehidupan pada peringkat yang pertama.

 

Malah teori evolusi yang sangat kontroversi di kalangan ahli agama dan di kalangan ahli sains sendiri juga berpendapat bahawa sel kehidupan pertama sebenarnya berasal daripada air.

 

Apapun yang dicadangkan oleh ahli sains sama ada kehidupan asal dibawa daripada angkasa lepas atau pun daripada lautan yang dalam tetapi mereka menerima hakikat bahawa sel kehidupan peringkat awal maupun peringkat tinggi sebahagian besar komponennya terdiri daripada komponen air.

 

Maka tidak hairanlah Al-Quran sejak dahulu kala telah pun dengan jelas menyatakan bahawa setiap kehidupan dijadikan daripada air. Kenyataan Al-Quran tidak bercanggah dengan tahap keilmuan masyarakat ketika ia diturunkan dan tidak juga bertentangan dengan kefahaman ilmu-ilmu moden yang kompleks tentang bagaimana air boleh menjadi sumber kehidupan.

 

Di dalam surah Al-Anbiya`, ayat ke-30 Al-Quran menerangkan secara umum tentang segala sesuatu yang hidup dijadikan daripada air:

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاء كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ

Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup

 

Manakala di dalam surah An-Nur, ayat ke-45 Al-Quran secara lebih spesifik menjelaskan bahawa kesemua haiwan yang melata di bumi diciptakan daripada air.

 

وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِن مَّاء

Dan Allah menciptakan kesemua jenis haiwan daripada air

Kedua-dua ayat ini sudah cukup membuktikan kemukjizatan Al-Quran tentang penobatan air sebagai sumber penciptaan kehidupan walaupun sains masih terawang-awang mencari bagaimanakah air boleh menjadi asal kepada kehidupan

 
Oleh: Zaharudin Nawi
 
.
  • March 10, 2014
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>