Ledakan Titik Padu

Professor Stephen Hawking yang dilahirkan di Oxford, England, pada 8 Januari 1942 telah melakukan suatu penyelidikan  tentang kejadian alam ini dengan mengunakan teori relatif  Einstein, teori kuantum Plank dan teori string.

 

Beliau ialah pemegang kerusi Professor Matematik Lucasian di Universiti Cambridge dewasa ini. Iaitu suatu jawatan yang pernah disandang oleh ahli sains terkenal Sir Isaac Newton. Dengan kepakarannya dalam bidang matematik Professor Hawking berusaha membuktikan bahawa alam ini tercipta hasil daripada satu ledakan yang besar yang dinamakan sebagai “Big Bang”.

 

Pada tahun 1971, beliau bersama dengan rakan saintisnya, Sir Roger Penrose, telah memperkuatkan teori Big Bang dengan bersandarkan kepada theoram  matematik. Dunia dikejutkan oleh Hawking dengan bukunya “The Brief History Of Time” yang dihidangkan kepada masyarakat awam untuk membayangkan kepada mereka tentang bagaimanakah kejadian “Big Bang” berlaku dengan bahasa yang santai sesuai untuk orang awam.

 

Buku ini suatu hasil kerja yang menakjubkan kerana berjaya menerangkan teorem-teorem matematik yang kompleks kepada masyarakat awam. Penemuan ini telah mencabar pegangan kuat saintis Barat selama ini bahawa alam ini “statik” iaitu tidak mengembang dan tidak menguncup. Fahaman alam statik ini cenderung mengatakan alam ini tiada permulaan.

 

Mengikut teori Big Bang, alam semesta pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku suatu letupan yang kuat, sekitar 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Selepas itu berlaku pengembangan dan penyejukan sehingga akhirnya lahirlah bintang-bintang, planet-planet, galaksi dan yang seumpamanya.  Teori ini membawa kesimpulan bahawa alam raya ini boleh mengembang (expanding) dan boleh menguncup (contracting).

 

Menurut Hawking jika kenyataan ini betul, alam semesta harus mempunyai titik ketunggalan (singularity), iaitu titik permulaan dalam ruang-masa. Dalam model matematik perkara itu ialah titik geometri yang bersaiz sifar. Titik permulaan inilah yang meledak dan menghasilkan taburan alam semesta ini.

 

Hakikatnya, teori ini bukanlah milik Hawking semata-mata. Malah ianya hasil pengembangan beberapa teori dan penemuan yang telah diusahakan oleh ahli-ahli sains fizik, matematik dan pakar-pakar astronomi. Pada asasnya ia berpunca daripada teori Einstein yang terkenal dengan nama General Theory Of Relativity yang dihasilkannya pada tahun 1915. Ia kemudian dikembangkan pada tahun 1922 oleh Alexander Friedman, seorang ahli sains kosmologi dan pakar matematik Russia yang mengesyorkan model alam yang mengembang. Ini mengimplikasikan kewujudan teori “Big Bang”.

 

Teori alam mengembang (expanding universe) menjadi bukti kepada ahli sains bahawa pengembangan ini berasal daripada ledakan “Big Bang”. Mengikut perkiraan mereka jika pengembangan alam dapat dibuktikan, maka “Big Bang” akan terbukti.

 

Teori pengembangan alam yang semakin diterima oleh saintis diperkuatkan oleh penemuan Vesto Melvin Slipher, seorang ahli astronomi Amerika, pada tahun 1912. Beliau menemui satu pancaran sinaran merah (redshift) keluar daripada sebuah galaksi yang berbentuk spiral (pilin) yang kemudian terkenal sebagai galaksi nebula. Beliau mendapati galaksi nebula ini kian bergerak menjauhi bumi seolah-olah ia sedang mengembang.

 

Galaksi Nebula ialah galaksi luar daripada galaksi Bimasakti (Milky Way) yang merupakan tempat di mana sistem solar kita berada. Melalui pengamatan ahli astronomi Amerika Edward Hubble pada tahun 1929 beliau mendapati bahawa gerakan pancaran sinaran merah (redshift) yang keluar daripada galaksi ini semakin laju jika galaksi berada semakin jauh daripada bumi.

 

Penemuan Hubble menunjukkan bahawa lebih besar jaraknya antara dua buah galaksi, lebih besar laju pemisahannya secara relatif. Penemuan ini bersetuju dengan ramalan bahawa jika masa dianjakkan ke belakang maka segala jisim yang berada di alam ini akan kembali berada dalam keadaan “kepadatan” (density) dan “suhu” yang menjunam tinggi sehingga ke tahap yang tidak terhingga atau infinitif. Ia berlaku di suatu waktu yang “terbatas” (finite) di zaman yang silam. Ini bermakna alam ini semestinya bermula daripada satu titik unsur yang tersangat kecil dan tersangat padat. Ledakan titik ini melahirkan fenomena apa yang dikatakan sebagai Big Bang.

 

Jika fenomena Big Bang benar-benar berlaku sudah tentu akan wujud di alam raya ini saki baki sinaran-sinaran radioaktif dan gas-gas tertentu hasil ledakannya. Inilah andaian ahli-ahli sains kosmologi. Dengan menggunakan satelite NASA seperti COBE mereka telah menemui gas-gas seperti helium, deterium, lithium dan gelombang-gelombang mikro di angkasa raya. Manakala satelite FUSE pula telah memperlihatkan dengan jelas bentuk gas helium bertaburan secara halusnya di angkasa raya hasil yang mereka percayai peninggalan ledakan besar atau Big Bang satu masa dahulu.

 

Al Quran tidak sunyi memperkatakan tentang kejadian alam. Alam ini adalah bukti tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Al Quran mengajak untuk merenungi apa yang dibentangkan di langit untuk membuktikan bahawa kebenarannya. Oleh itu pengkajian terhadap fenomena alam adalah sesuatu yang dituntut oleh Al Quran. Dalam surah Fussilat ayat 53 Allah berfirman:

 

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segenap ufuk (penjuru langit) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup  (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?

 

Proses penemuan “Big Bang” seoalah-olah semakin membuktikan kemukjizatan Al Quran terutamanya kepada mereka yang ahli dalam bidang sains. Al Quran bukan sebuah kitab yang diturunkan untuk membuktikan fakta sains kerana fakta sains itu sendiri berubah-ubah berdasarkan kepada sejauh mana kecanggihan alat yang digunakan dan sejauh mana pengamatan dan kesimpulan yang dicapai oleh ahli-ahli sains terhadap ujikaji mereka.

 

Teori Big Bang berkesimpulan bahawa alam ini sebenarnya bermula dengan keadaannya bersatu di satu titik. Dalam masa yang sama Al Quran sudah lama memperkatakan bahawa alam semesta ini pada peringkat permulaannya sememangnya bersatu. Teori ini adalah satu pendekatan untuk memahami firman  Allah SWT di dalam Al Quran dalam surah Al Anbiya` ayat 30:

 

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقاً فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاء كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu suatu yang padu (رَتْقاً) kemudian kami pisahkan antara keduanya (فَفَتَقْنَاهُمَا). Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu.

 

Ulama-ulama tafsir seperti Baidhawi (m 685H/1286 Masihi) telah mentafsirkan bahawa kedua-dua langit dan bumi dahulunya adalah satu hakikat yang sama kemudian dijadikan berbagai-bagai. Kemudian beliau juga mengemukakan pendapat bahawa yang dimaksudkan dengan langit ialah langit yang nampak oleh mata kasar manusia (langit dunia) dan sekelian langit yang lain dengan ufuk-ufuknya. Manakala  bumi ialah segala planet. Tafsiran Baidhawi ini sinonim dengan postulasi-postulasi modern tentang Teori Big Bang.

 

Justeru dapat disimpulkan bahawa Al-Quran mempunyai mukjizatnya yang tersendiri. Manakala teori “Big-Bang” ini sedikit sebanyak dapat lagi memperjelaskan ayat-ayat berhubung penciptaan alam dalam kerangka kajian saintifik. Tidak mustahil di masa akan datang, ahli-ahli sains menemui teori baru yang lebih jelas dan tepat dalam memahami fenomena alam ini.

 

Oleh : Zaharudin Nawi

  • February 9, 2014
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>