Penyusuan Ibu Susuan

Penyusuan ibu susuan adalah satu syariat yang indah dalam Islam.Nabi Muhammad SAW sendiri mempunyai ibu susuan, begitu juga anak Baginda, Ibrahim.Dan dalam
kajian saya, belum ditemui ibu susuan untuk anak-anak Rasulullah SAW yang lain. Siapa yang ada informasi berkenaannya sila kongsikan.

Apa yang menjadi perhatian kajian saya adalah had minima penyusuan bagi mensabitkan hukum haram perkahwinan melalui penyusuan. Saya dapati, dalam facebook Human Milk For Human Baby yang banyak memperolehi jawapan berkenaan penyusuan daripada JAKIM, jawapan tentang had minima adalah seperti berikut:
15. Berapa kali penyusuan sehingga bayi/anak berkenaan disabit sebagai anak susuan saya?
Menurut JAKIM dan Ustaz Naim, anak berkenaan perlu kenyang lima kali dengan meminum susu perahan anda (EBM) sebelum dia dianggap anak susuan anda.
16. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kenyang’ apabila menyusu?
” Penyusuan mencecah lima kali tanpa perlu kenyang.

Apakah perbezaan jawapan soalan nombor 15 dan 16? Jawapan nombor 15 perlu kenyang lima kali, manakala jawapan nombor 16- lima kali tanpa perlu kenyang.

Had minima 5x kenyang menjadi pegangan Mazhab Syafie(dalam konteks di Malaysia, kita memegang pendapat ini). Pendapat ini selari dengan huraian Ustaz popular masakini, Ustaz Azhar Idrus yang biasanya menjawab soalan berdasarkan pendapat muktamad daripada Mazhab Syafie: https://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=AyI-gqBZBhc.

Terdapat juga jawapan dari Ustaz popular lain, iaitu Ustaz Zaharudin Abdul Rahman di dalam artikelnya menyebut :… ia adalah kerana sudah pasti anak itu akan menyusu dengan si ibu tadi, dan dengan hanya 3 kali kenyang hasil dari penyusuannya, sabitlah status anak susuan (Rujukan: http://zaharuddin.net/rumahtangga-&-keluarga/268-berkenaan-hubungan-ibu-susu-a-status-anak-angkat.html, artikel pada 30 Jan 2007, 11 Muharram 1428 H)

Manakala dalam artikel berbahasa Arab oleh Syeikh Mahmud Audah Salman yang berjudul ‘Ar-Radha’ wa ahkamuhu fi al-Fiqh al-Islami”(Penyusuan dan hukum-hukumnya dalam Fiqh Islam), menyatakan ada 5 pendapat berkenaan had minima penyusuan bagi mensabitkan hukum haram perkahwinan melalui penyusuan, iaitu:
1-Tiada syarat had minima, asalkan susu itu masuk perut bayi.
2- sekurang-kurangnya tiga kali penyusuan ( sekali dan dua kali penyusuan tidak dikira, yang dikira tiga kali susuan keatas.)
3- sekurang-kurangnya lima kali penyusuan
4- sekurang-kurangnya tujuh kali penyusuan
5-sekurang-kurangnya sepuluh kali penyusuan

Setiap pendapat diatas disertakan dengan hujah dan dalil yang menjadi pegangan setiap pendapat tersebut.Syeikh Muhammad Audah Salman dalam artikelnya ini menjadikan pendapat pertama (sedikit atau banyak sama, tiada had minima) sebagai pendapat yang paling tepat. Pendapat ini menurut kajian beliau adalah pendapat dalam Mazhab Hanafi, pendapat Imam Malik, pendapat Ali Bin Abi Talib R.A, Abdullah Ibn Abbas, Hammad, Al-Auzai’, At-Tahuri dan Al-Lais, dan lain-lain. Bahkan Al-Lais menjadikannya sebagai pendapat yang disepakati –Al-Ijmak. Dan pendapat ini dipegang oleh kebanyakan ulama dari kalangan Sahabat, Tabiin dan lain-lain.

Kajian oleh Syeikh Muhammad Audah Salman juga selari dengan perbahasan Hadis-Hadis Ar-Radha’ah dalam Sahih Muslim oleh Syeikh Muhammad Taqi Uthmani didalam kitab beliau “Takmilah Fathul Mulhim Syarah Sahih Muslim”. Terdapat lebih 35 buah Hadis yang berkenaan penyusuan. Beliau juga mengemukakan pendapat pertama (sedikit atau banyak sama, tiada had minima) sebagai pendapat yang paling tepat berdasarkan hujah dan dalil. Beliau menyatakan Imam AnNawawi menjadikan pendapat ini sebagai pendapat jumhur didalam kitab Syarah Sahih Muslim li An-Nawawi, dan juga pendapat Imam Bukhari didalam kitabnya Sahih Bukhari.

Cuma, apa yang berbeza dengan kajian Syeikh Muhammad Audah Salman, Syeikh Taqi Uthmani dalam kajian beliau menyatakan hanya ada empat pendapat, tanpa menjadikan pendapat sekurang-kurangnya tujuh kali penyusuan sebagai salah satu pendapat.

Apa yang menariknya, berbanding kajian Syeikh Muhammad Audah Salman, Syeikh Taqi Uthmani menyatakan dengan jelas, beza “hisapan” dan “penyusuan” yang menjadikan Imam Syafie dan Imam Ahmad mensyaratkan penyusuan lima kali pada waktu yang berbeza, setiap kali daripadanya mesti kenyang.Pendapat lima kali kenyang ini seperti dinyatakan oleh Syeikh Taqi Uthmani, boleh dirujuk dalam kitab Al-Majmu’ oleh As-Syairazi atau Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah.

Siapa ada pandangan lain berdasarkan kajian terperinci silalah kongsikan.

  • January 28, 2013
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>