Satu Cabaran: Datangkan Satu Ayat Seperti Al-Quran

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan di dalam suatu bahasa yang mempunyai nilai kefasihan dan kesusteraan yang amat tinggi, mustahil manusia dan jin dapat menciptakan seumpamanya. Sehingga hari ini tiada yang mampu menciptakan sesuatu seumpama Al-Quran. Itulah tanda kemukjizatan Al-Quran. Kenyataan ini boleh dilihat menerusi cabaran Al-Quran terhadap masyarakat pada waktu itu agar mereka mendatangkan ayat seperti Al-Quran.

 

Pada tahap di Mekah Al-Quran mencabar sesiapa sahaja yang mempunyai keraguan terhadap Al-Quran untuk menyusun sepuluh surah sahaja seumpamanya:

 

Bahkan mereka mengatakan bahawa Muhammad telah membuat-buat Al-Quran itu. Katakanlah: Kalau demikian maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup memanggilnya selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar“. (Surah Hud, Ayat 13)

 

Setelah tidak berdaya dicabar, Al-Quran meringankan cabarannya untuk menjadikan satu surah sahaja seperti mana firman Allah dalam Surah Yunus, Ayat 38:

 

Bahkan mereka mengatakan Muhammad membuat-buatnya. Katakanlah: “Kalau benar yang kamu katakana itu maka cubalah datangkan satu surah yang sama dengannya dan panggillah siapapun yang dapat kamu panggil selain Allah jika kamu orang-orang yang benar“.

 

Kemudian cabaran ini diperkuatkan oleh ayat dalam surah Thur, ayat 33-34:

 

Apakah mereka menduga bahawa Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). Maka hendaklah mereka mendatangkan huraian yang semisal Al-Quran, jika mereka orang-orang yang benar“.

 

Setelah Al-Quran berdepan dengan semakin banyak musuh yang terdiri orang-orang musyrikin, Yahudi dan Kristian di Madinah ia tetap mencabar mereka untuk membuat lebih kurang satu surah sahaja seumpama surah Al-Kauthar. Firman Allah swt:

Jika kamu tetap dalam keraguan tentang Al-Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami Muhammad, maka buatlah lebih kurang semacam satu surah sahaja, dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar dalam keraguanmu.” (Al-Baqarah, Ayat 23)

 

Walaupun ada yang mencubanya tetapi mereka sendiri tidak mengerti apakah maksud daripada gubahan mereka itu. Di antara gubahan mereka ialah:

 

إِنَّا أَعْطَينَاكَ الْجَوَاهِرَ؛ فَصَلِّ لِرِبِّكَ وَجَاهِرْ

“Sesungguhnya Kami telah menganugerahkan kepadamu permata-permata, maka salatlah kepada Tuhanmu dan nyatakanlah”

 

Di antara cabaran Al-Quran ialah supaya manusia melihat kebenaran di dalamnya yang menembusi sekatan-sekatan masa dan tempat. Cerita-cerita yang dikisahkan oleh Al-Quran tentang umat-umat yang terdahulu yang tidak pernah diketahui oleh seorang pun apatah lagi Muhammad yang tidak tahu membaca dan menulis menjadi cabaran kepada sesiapa sahaja untuk melumpuhkan dakwaan tentang kemukjizatan Al-Quran.

 

Tidakkah ramalan Al-Quran tentang kesudahan peperangan adalah kemenangan bagi pihak Rom ke atas Parsi satu mukjizat yang sukar ditolak tentang kebenarannya.

 

“Telah dikalahkan bangsa Rom di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan akan menang” [Surah Rom:2-3].

 

Oleh: Zaharudin Nawi

  • February 12, 2014
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>