Tazkirah Surah Al Masad

Kebanyakan mushaf Al-Quran menamakan surah ini sebagai Surah Al-Masad. Terdapat juga di dalam sebahagian mushaf Al-Quran dan sebahagian kitab-kitab tafsir menamakannya sebagai Surah Tabbat. Di samping itu ada yang menamakannya sebagai Surah Abi Lahab, Surah Lahab dan Surah Ma Kana Min Abi Lahab. Penamaan surah ini kelihatannya diambil daripada perkataan yang terdapat di dalamnya.

Abu Lahab bukanlah orang yang asing dengan Nabi saw. Dia adalah bapa saudara Nabi saw. Di samping mempunyai hubungan kekeluargaan beliau juga adalah jiran terdekat Nabi saw. Namun di kala Nabi memerlukan sokongan terhadap permulaan dakwah baginda kepada keluarga baginda beliaulah orang yang awal-awal lagi melabel Nabi dengan sifat kecelakaan. Maka tidak hairanlah Allah sendiri melontarkan kembali kecelakaan itu sehingga menjadi saksi sehingga hari Kiamat. Bukan Abu Lahab seorang diri sahaja malah isterinya juga akan turut serta menerima label penghinaan ini kerana usahanya menghina Nabi saw.

Surah ini walaupun hanya mempunyai 70 huruf, 20 perkataan dan 5 ayat tetapi cukup menjadi peringatan kepada umat manusia supaya jangan menjadi penentang kepada Islam dan Rasulnya. Kesudahan orang yang menentang agama kemungkinan akan disiksa sebagaimana dengan bentuk penghinaa dan siksaan yang dilakukan terhadap kemurnian Islam dan pendokong-pendokongnya. Lihat bagaimana Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dihina seumpama penghinaan yang dilakukan ke atas Nabi saw. Apakah orang Islam yang tidak mempedulikan suruhan dan larangan agama termasuk di dalam kelompok Abu Lahab dan Ummu Jamil?

Surah ini juga mengingatkan umat Islam kepada perlunya menjaga keluarga daripada tergelincir daripada rel hidayah. Wahyu yang diterima oleh Nabi saw bukanlah anugerah peribadi atau milik persendirian. Malah ianya amanah yang perlu disampaikan kepada manusia keseluruhannya bermula dengan keluarga dan orang yang terdekat.

Mudah-mudah kesah Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil mengingatkan kita akan adanya pembalasan Allah terhadap setiap amalan yang kita lakukan di dunia ini. Setiap amalan samada baik atau buruk akan dibalas setimpal dengannya kerana Allah itu Maha Adil. (petikan dari artikel Zaharudin Nawi utk Exim Bank)

  • February 16, 2013
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>