Tazkirah Surah An Nas

Sudah menjadi fitrah Allah menjadikan manusia dan menghidupkannya di atas muka bumi ini untuk diuji. Setiap manusia merasai bahawa kehidupannya diwarnai dengan bermacam-macam masalah. Kadang-kadang sesuatu yang baik diterima oleh kita hari ini rupa-rupanya ia mendatangkan masalah kepada kita di kemudian hari. Sesiapa pun tidak akan terlepas daripada ujian ini termasuklah para nabi-nabi dan rasul-rasul. Tribulasi kehidupan manusia yang paling besar ialah apabila ia diganggu oleh musuh yang ia tidak nampak. Iaitu gangguan jin dan syaitan. Jin dan syaitan sentiasa menganggu manusia untuk berbuat kejahatan. Di antara rasukan mereka yang paling besar ialah apabila mereka berjaya menguasai hawa nafsu manusia.

 

Lihatlah bagaimana Bushiri dalam syair Burdahnya menyifatkan hakikat nafsu:
“Nafsu bagaikan bayi. Jika engkau biarkan ia terus menyusu ia akan membesar suka untuk sentiasa disusukan. Jika kamu halang-halanginya maka dia tidak akan meminta lagi untuk terus menyusu”.

 

Hasil daripada pengalaman ulama mengkaji tabiat bisikan syaitan ke dalam jiwa manusia mereka telah menemui beberapa pintu yang sering digunakan oleh syaitan untuk melaksanakan misi mereka itu. Di antara pintu yang selalu digunakan oleh syaitan untuk membisikan kejahatan kepada manusia dan cara-cara menutupinya sebagaimana yang disebut oleh Muhammad Quraish Shihab dalam kitab tafsirnya adalah seperti berikut:
a) Cita-cita yang berlebihan dan berperangsangka buruk terhadap Tuhan. Tabiat ini akan melahirkan budaya tamak dan kedekut. Pintu ini dapat ditutup dengan menyakini sifat kepemurahan Allah SWT serta berpuas hati dengan rezeki halal yang diusahakan sekadar kemampuan yang Allah berikan.

 

b) Terlalu mencintai dunia. Pintu bisikan buruk ini dapat dihindari dengan bersikap zuhud dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah sementara. Berapa ramai kita melihat orang yang kaya, berkuasa, terkenal atau cantik pada hari ini tiba-tiba apa yang mereka miliki hilang dalam sekelip mata sahaja.

c) Merasai lebih daripada orang lain. Syaitan sentiasa membisikkan ke dalam hati manusia supaya merasakan bahawa apa yang dilakukannya adalah benar dan baik belaka. Pintu was-was ini boleh ditutup dengan suatu kesedaran bahawa segala amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT dan penilaian terhadap amalan manusia bukan berdasarkan apa yang dilakukan hari ini malah di akhir usianya.

 

d) Memperkecilkan dosa atau kebaikan. Dengan pemahaman sebegini manusia akan terus melakukan dosa dengan alasan ianya hanyalah dosa kecil. Manusia tidak mahu mematuhi perintah Allah dan berbuat kebaikan dengan alasan malu kerana amalan itu tidak termasuk apa yang disanjung oleh golongan elit. Pintu yang bahaya ini boleh ditutup dengan menyedarai bahawa kepada siapa dosa yang dia sedang lakukan. Tidakkah kepada Allah?. Manakala sikap memperkecilkan suruhan agama dapat dibendung dengan menyedari bahawa amalan tidak dinilai pada bentuknya tetapi dinilai dengan niat dan keikhlasan. Amalan agama yang kecil akan menjadi besar jika niatnya diterima oleh Allah SWT.

 

e) Riya`, ingin selalu dipuji, baik diwaktu melakukan pekerjaan tersebut maupun sesudahnya. Pintu ini dapat ditutupi dengan serapat-rapatnya dengan menyedari bahawa Allah tidak akan menerima amalan yang disertai dengan riya` dan takabbur.

 

Bagi mereka yang taat kepada Allah maka syaitan akan mengoda mereka dengan dorongan agar meninggalkan amalan-amalan sunat dengan berbagai-bagai dalih dan alasan, misalnya terlalu letih. Syaitan juga akan menganggu konsentrasi mereka di saat melakukan ibadah dan juga menimbulkan bermacam-macam fikiran yang boleh mengurangkan nilai amal ibadahnya.

 

Oleh kerana Allah yang menciptakan Jin dan Syaitan maka Allahlah yang mengetahui tipu daya mereka. Dengan sifatNya sebagai Rab, Yang menyayangi hamba-hambaNya, Malik, Raja yang menguasai segala sesuatu, Allah mendedahkan kejahatan musuh manusia dan mengajar manusia supaya sentiasa meminta perlindungan denganNya. Dengan itu Allah menurunkan surah An Nas membekalkan kepada manusia perisai untuk mempertahankan diri daripada bisikan kejahatan jin, syaitan dan kuncu-kuncunya daripada kalangan manusia.

 

Allah mengajar manusia agar sentiasa membaca surah ini untuk dijadikan pelindung. Allah juga mengajar kita agar memperbanyakkan mengingatiNya dengan membaca zikir, menunaikan perintah-perintahNya serta mengakui bahawa kita manusia teralu kerdil dihadapanNya. Hal-hal yang sebeginilah seharusnya kita sedari apabila membaca surah An Nas. Moga-moga dengan mempertimbangkan perkara yang disebutkan ini permohonan kita untuk meminta pertolongan Allah akan dimakbulkan. Ameen.

(petikan daripada artikel Zaharudin Nawi utk Exim Bank)

  • February 12, 2013
  • Basooir
  • Blog

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>