Balaghah dan Fawaid Ayat 14-15 Al Baqarah

Dua ayat dari Surah Al-Baqarah ini mengandungi beberapa cabang ilmu balaghah. Kita ringkaskan kepada EMPAT.

 

1. Mufaaraqah (pertentangan) antara dua ayat

Orang munafiq bercakap dengan orang mukmin dengan menggunakan Jumlah Fi’liyyah آمَنَّا (Ayat Kata Kerja). Manakala bila mereka bercakap dengan pembesar-pembesar (syaitan-syaitan) mereka, mereka menggunakan Jumlah Ismiyyah اِنَّا مَعَكُمْ (Ayat Kata Nama). Jumlah Ismiyyah lebih sabit berbanding Jumlah Fi’liyyah (yang bersifat tajaddud, sentiasa dibaharui). Ini membuktikan iman mereka yang singkat tempohnya. Hanya sekadar pergerakan lidah ketika bertemu orang mukmin sahaja. Sebaliknya kecenderungan mereka terhadap syaitan-syaitan mereka itu bersifat kekal, dan sesuai dengan diri mereka.

 

2. Mukhalafah

Perbezaan antara ayat مُسْتَهْزِئُونَ dan يَسْتَهْزِئُونَ menunjukkan azab (istihza’) Allah cuma berlaku pada keadaan tertentu. Ini membuatkan orang munafiq berada dalam kehairanan dan kekeliruan sebagai tambahan terhadap seksaan terhadap mereka.

 

3. Musyakalah

Istihza’ (memperolok-olok) ialah satu contoh yang tidak layak bagi Allah swt. Namun lafaz yang sama digunakan pada dua ayat ini yang membawa makna berlainan. Iaitu makna asal, memperolok-olok pada ayat مُسْتَهْزِئُونَ. Dan makna ‘seksaan’ Allah pada ayat يَسْتَهْزِئُونَ. Oleh itu lafaz istihza’ ini dinamakan lafaz Musyakalah dari sudut balaghah.

 

4. Fasal.

Fasal ialah tidak menyambungkan (wasal) ayat pada ayat sebelumnya. Wajib fasal pada ayat

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

Ini disebabkan, menyambung dari ayat sebelum akan merosakkan maknanya, bila mana ayat ini dianggap termasuk sebagai sebahagian kata-kata (maqul) orang munafiq sendiri.

 

Cuba perhatikan ayat sebelumnya:

وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

 

Dalam ayat ini kata-kata orang munafiq (قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ) ialah jawab syarat dan ia tertakluk kepada syarat (إِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ). Sedangkan azab Allah terhadap mereka berterusan dan tidak tertakluk samada mereka berada dengan syaitan-syaitan mereka atau pun tidak.

 

Selain daripada itu, Jumlah Musta’nifah atau ayat pemula, ialah jawapan (mazinnah) kepada persoalan yang timbul dari ayat-ayat ini. Seperti, “Apakah balasan perbuatan mereka?” atau “Apakah kesudahannya?”. Maka bersesuaianlah ayat (اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ) sebagai Ayat Musta’nifah.

 

 

  • January 21, 2014
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>