Fawzul Kabeer

Fauzul Kabir-1

PDF Fauzul Kabir 60MB
PDF Fauzul Kabir Lo 20MB
PDF Fauzul Kabir B&W 6MB

 

 

Kitab Fawzul Kabir Fi Usul Tafsir adalah kitab karangan Shah Waliyullah Dehlawi (1703-1762M/114-1176H) yang membincangkan prinsip-prinsip pentafsiran Al-Quran Al-Karim. Kitab ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi. Kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh beberapa orang ulama secara berasingan. Sekurang-kurangnya terdapat tiga naskah terjemahan yang berlainan dalam bahasa Arab. Kitab yang ringkas ini telah dijadikan sukatan pengajian usul tafsir di kebanyakan madrasah yang menggunakan metod Dars Nizami. Sesuai dengan sifatnya yang ringkas, ia juga dijadikan sebagai kitab pengajian kilat dalam ilmu tafsir di merata-rata tempat di dunia.

Kandungan ringkas kitab ini adalah seperti berikut.

 

Ia  dibahagikan kepada 4 bab utama, iaitu:

Bab 1 Menyentuh tentang  5 ulum (ilmu) utama yang terdapat dalam al-Quran

Bab 2: Menyentuh tentang  makna-makna yang tersembunyi  dalam memahami ayat  al-Quran di sisi generasi kemudian dan penerangan terhadap makna tersebut

Bab 3:  Menyentuh tentang bentuk-bentuk keindahan ayat Al-Quran dan penjelasan tentang uslub atau gaya bahasa yang digunakan.

Bab 4: Menyentuh tentang manhaj yang digunakan dalam pentafsiran Al-Quran dari satu generasi kepada satu generasi. Ia juga membicarakan tentang hakikat perbezaan pentafsiran sahabat dan tabiin.

 

Setiap bab yang disebutkan di atas dibahagikan kepada unit-unit kecil yang dipanggil fasal (فَصْلٌ). Oleh itu setiap bab mempunyai bilangan fasal masing-masing.

Bab 1  Isi perbincangan bab 1 ialah berkenaan 5 ilmu berikut
  • ilmu jadal (perdebatan),
  • ilmu tazkir (mengingati) nikmat-nikmat Allah,
  • ilmu tazkir (mengingati) peristiwa yang berlaku ke atas umat maupun individu samada mengenai nikmat atau kecelakaan
  • ilmu tentang kematian dan apa yang berlaku selepas mati.
  • ilmu hukum hakam

Kelima-lima ilmu ini dibincangkan secara berasingan dalam dua fasal yang berasingan.

Fasal 1: Menyentuh tentang ilmu jadal iaitu ilmu perdebatan antara golongan-golongan yang disebut dalam Al Quran seperti musyrikin, Yahudi dan Nasrani.

Fasal 2:Menyentuh empat ilmu lain selain ilmu jadal di atas iaitu ilmu tazkir (mengingati) nikmat-nikmat Allah, ilmu tazkir (mengingati) peristiwa yang berlaku ke atas umat maupun individu samada mengenai nikmat atau kecelakaan dan ilmu tentang kematian dan apa yang berlaku selepas mati dan ilmu hukum hakam.

 

Bab 2 dibahagikan kepada lima fasal

Fasal 1: Menyentuh tentang penjelasan kepada makna-makna kalimah Al-Quran yang gharib atau sukar dan bagaimana generasi qudama mentafsirkannya.

Fasal 2: Menyentuh tentang masalah nasikh dan mansukh iaitu adakah berlaku pembatalan ayat Al-Quran selepas diturunkan samada dari sudut bacaan maupun hukumnya. Apakah makna penaskahan di sisi ulama dahulu (mutaqadimin) dengan ulama kemudian (muta`akhirin).  Ia juga mengemukkan satu senarai panjang contoh-contoh nasikh dan mansukh menurut turutan surah-surah dalam Al-Quran berumla dengan surah Baqarah berakhir dengan surah Muzammil.

Fasal 3: Menyentuh tentang sebab nuzul Al-Quran.  Beberapa persoalan seolah-olah diajukan oleh penulis. Apakah sebab nuzul berlaku secara mutlak. Adakah sebab nuzul berlaku kerana kesilapan dalam memahami bahasa yang digunakan untuk perkataan `nuzul`. Adakah sebab nuzul merupakan objektif penting penurunan Al-Quran. Ia juga turut membincangkan tentang syarat-syarat yang perlu dipertimbangkan oleh mufassir sebelum menentukan sebab nuzul sesebuah ayat.  Selain itu beberapa kaedah pentarjihan juga dikemukan oleh pengarang dalam pentafsirakan ayat-ayat yang sukar difahami  apakah madlul ayat tersebut.

Fasal 4: Menyentuh tentang beberapa ilmu lain yang ada kaitan dengan lata`if  (keindahan) Al-Quran seperti masalah hazaf (membuang kalimah), ibdal (menukar kalimah atau huruf), taqdim-ta`khir (mendahulu dan mengkemudiankan kalimah),  ziyadah (kepelbagaian pertambahan kalimah samada melalui pengulangan kalimah, pertambahan huruf dsb) dan dhamir (yang berselerak yang menyukarkan memahami teks).

Fasal 5: Menyentuh tentang beberapa ilmu Balaghah dalam Al-Quran seperti perbicaraan tentang muhkam, mutashabih, kinayah, ta`ridh dan majaz aqli. Istilah-istilah ini lahir kerana apa yang ditunjukkan oleh kalimah maupun ayat dalam Al-Quran kadang jelas dan mudah difahami tetapi kadang-kadang menunjukkan kepada bukan kepada satu kemungkinan atau kepada yang bukan zahir.

 

Bab 3 dibahagikan kepada empat fasal

Fasal 1: Menyentuh tentang cara penyusunan Al-Quran dan perbincangan mengenai surah-surah dalam Al-Quran. Apakah rahsia atau hikmah penyusunan Al-Quran seperti mana yang sedia ada. Ia juga mengemukan perbincangan tentang pembahagian surah mengikut panjang dan pendek. Apakah uslub yang digunakan oleh Al-Quran untuk memulakan surah dan mengakhirinya. Begitu juga tentang apakah uslub yang digunakan dipertengahan  surah.

Fasal 2: Menyentuh tentang pembahagian surah kepada ayat-ayat dengan ciri-ciri yang tersendiri. Adakah ia menyamai cara pembahagian qasidah kepada bait-bait syair yang merupakan cara masyarakat Arab waktu itu mendendangkan syair-syair mereka. Ia membincangkan juga tentang pertimbangan Al-Quran dari sudut keindahan wazan-wazan yang melahirkan irama yang sesuai dengan tabiat semulajadi manusia. Di samping mengemukakan sudut-sudut kelazatan yang terhasil daripada pemilihan huruf-huruf sebagai fawasil (kalimah terakhir) ayat dan hikmah Al-Quran tidak memilih cara qasidah dalam menghasilkan kelazatan irama penyususnan ayat atau kalimah.

Fasal 3: Menyentuh tentang rahsia kenapa berlakunya pengulangan 5 ulum yang disebutkan sebelum ini dalam Al-Quran di merata-rata tempat dan mengapa ia tidak disusun mengikut subjek-subjeknya sebagaimana penulisan biasa.

Fasal 4: Menyentuh tentang bentuk-bentuk kemukjizatan Al-Quran seperti uslub yang indah, perkhabaran tentang umat yang terdahulu dan juga syariat mereka tanpa mempelajari daripad sesiapa, perkhabaran tentang perkara yang akan berlaku, ketinggian balgahah ayat-ayatnya, hikmah disebalik kisah-kisah yang diutarakan, mempertimbangkan  situasi mereka yang dipertuturkan dan juga kefahaman yang ditinggalkan kepada mereka yang khusus mentadabburi Al-Quran.  

 

Bab 4 dibahagikan kepada empat fasal

Fasal 1: Menyentuh tentang keterangan mengenai athar-athar dan juga hadith-hadith yang ada hubungan dengan pentafsiran ayat. Pengarang menumpukan kepada riwayat-riwayat yang menunjukkan sebab nuzul dan cuba menjelaskan sifat riwayat-riwayat ini dari sudut maksud atau tujuan daripada peristiwa tersebut. Begitu juga beliau membincangkan tentang riwayat-riwayat israiliyat dengan mengetengahkan sikap yang perlu dititik beratkan apabila berdepan dengan riwayat seumpama ini. Turut dibancangkan juga ialah pentafsiran ayat Al-Quran melalui ayat Quran sendiri, perbezaan salaf tentang pentafsirkan perkataan yang gharib dan petunjuk daripada pengarang sendiri tentang beberapa contoh gharib dalam Al-Quran yang  diselesaikan oleh beliau. Turut dibincangkan ialah ikhtilaf ulama mutaqadimin dan mutakhirin dalam menentukan makna nasakh.

Fasal 2: Menyentuh tentang beberapa perkara yang lain tentang bab ini seperti perbahasan tentang masalah isntinbat hukum, masalah taujih dalam mensyarahkan ayat Al-Quran dengan pembahagian-pembahagiannya seperi taujih pada ayat jadal, dalam ayat ahkam, dalam ayat tazkir nikmat, peristiwa, kematian dan kebangkitan. Ia juga membincangkan tentang lughah Al-Quran. Apakah sumber rujukan untuk mengetahui makna dan penggunaan kalimah Al-Quran. Di samping itu perbahasan tentang ilmu ma`ani dan bayan juga diajukan. Apakah sikap seseorang bila berdepan dengan ma`ani dan bayan yang di luar kefahaman jumhur Arab. Tidak ketinggalan tafsir atau isyarat sufi turut dibangkitkan oleh pengarang dalam fasal ini bersama dengan ilmu i`tibar atau qiyas.

Fasal 3: menyentuh tentang kalimah-kalimah yang gharib dalam Al-Quran yang diterangkan khusus oleh hadith-hadith Nabi saw. Ia dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut pembahagian ulum yang lima dengan beberapa tambahan yang lain seperti gharib dalam ilmu jadal, gharib dalam ilmu tazkir nikmat, peristiwa, kematian dan kebangkitan, gharib dalam ilmu ahkam, gharib dalam ilmu balaghah dan gharib dalam mentasawurkan kegembiraan dan dukacita. Ia juga turut mendedahkan tentang hakikat hadith Nabi saw yang mengatakan ayat AlQuran mencangkupi makana zahir dan batin,

Fasal 4: menyentuh tentang ilmu wahbi iaitu ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada beliau dalam memahami Al-Quran. Ilmu-ilmu ini telahpun disebut secara sepintas lalu dalam bab-bab atau fasal-fasal yang terdahulu. Ia dibahagikan kepada empat kurniaan.

Pertama ilham mentakwil kisah-kisah para anbia iaitu menerangkan tentang sebab-sebab atau illat kenapa Allah jadikan sesuatu kejadian atau peristiwa ke atas rasul-rasul dan kaum-kaum. 

Kedua ilham membahas ulum yang lima yang merupakan asas bicara Al-Quran.

Ketiga ilham menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Parsi agar makna Al-Quran dapat dicapai oleh masyarakat awam.

Keempat ilham mengamalkan khawas Al-Quran iaitu surah-surah atau ayat-ayat Al-Quran yang khusus disebut oleh hadith bahawa ia mengandungi fadhilat yang khusus samada dalam bentuk doa, wirid, jampi dan sebagainya.

 

 Pengajian Masa
01Pengenalan Fawzul Kabeer1:47:16
02Muqaddimah dan Bab Pertama: Ulum Khamsah2:01:38
03Ilmu Jadal: Musyrikin 011:38:19
04Ilmu Jadal: Musyrikin 021:53:41
05Ilmu Jadal: Musyrikin 031:39:13
06Tentang Yahudi1:31:00
07Yahudi Menyembunyi Ayat1:13:10
08Nubuwwah dan Manhaj Pengislahan Manusia 1:12:47

 

  • July 6, 2014
  • Basooir
  • Lesson

Discuss

Habib Mustofa

Assalamualaikum wbt, Tuan Pentadbir Blog ini...saya berharap tuan dapat memanfaatkan ruang yang ada dengan memulakan kitab Durus Nahwiyah oleh alallamah Hifni Nasif dan rakan2...berikan tumpuan pada Bab kelima yang menceritakan tentang Huruf Maani serta dengan i'rabul Quran...Sya mendoakan kejayaannya...semoga semua dapat mengambil manfaat. http://www.kutubpdf.net/bimgs/www.alkottob.com-Grammar_lessons_to_a_group_of_linguists.jpg


Basooir

PDF baru dah dikemaskini


Mohd Nasir

Assalamu'alaikum, Saya hadir pada kelas ustadz di Masjid Subang Perdana hari ini. Kenapa setelah download file pdf Fawzul Kabeer spt dalam Basooir ia tidak sama dengan buku text yg diguna dalam kelas. Saya perlukan text book tersebut utk ikuti kelas. TK NASIR  


Zaharudin Nawi

Terima Kasih. Doakan semoga kami diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan usaha menyampaikan ilmu yang bermanfaat.
 


norlia

Salam, very interesting subject Ustaz, terima kasih dengan banyak ilmu yg ustaz kongsikan ini, semoga di dalam peliharaan Allah jua.



Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>