Biografi Muhyiddin Ad-Darwish

Beliau adalah seorang sasterawan yang unik, penyair dan alim dalam bidang lughah dan nahu. Ramai yang telah berguru dengan beliau iaitu dalam kalangan sasterawan, para penyair dan juga pecinta-pecinta bahasa dan balaghah.

 

Walaupun beliau seorang yang terhormat dan berpengaruh, namun beliau tidak begitu dikenali melainkan hanya di kalangan orang-orang yang dekat atau orang-orang yang benar-benar mengetahui  beliau sebagai seorang ilmuan yang agung dan lughawi yang hebat.

 

Syeikh Muhyiddin Ad-Darwish dilahirkan di bandar Homs, Syria pada tahun 1908 masihi. Beliau belajar secara bertallaqi pada peringkat asas (ibtidaiyyah) dan menengah (thanawi) di beberapa madarasah sekitar Homs. Kemudian beliau memperoleh  ijazah daripada Institut Perguruan Tinggi di Damsyik.

 

Selanjutnya beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru Bahasa Arab di beberapa buah madrasah kerajaan dan persendirian dalam tempoh yang agak lama iaitu melebihi 40 tahun.

 

Sepanjang tempoh ini  beliau telah menghasilkan karya-karya ilmiah antaranya :

 
  1. Taqwim Al Yadi wa Al Lisani (تقويم اليد واللسان)– karya ini usahasama dengan seorang penyair
  2. Diwan Diik Al Jinni Al Himsy (ديوان ديك الجن الحمصي)
  3. Al Suwar Al  Fanniyyah Al Muqtabasah mi Al Quran Al-Karim (الصور الفينة المقتبسة من القران الكريم) merupakan siri kajian beliau yang dimuatkan dalam majalah “الخمائلط “
  4. Hadith Al Sulasa’(حديث الثلاثاء)  (Tuesday Speech) – tulisan beliau dalam akhbar tempatan.
  5. Suwar Zaahiyah min Taarikhinal  Al Araby (صور زاهية من تاريخنا العربي) -Gambaran Indah tentang Sejarah Arab Kita
  6. Sawanihu wa Bawarihu (سوانح وبوارح)  Nasib Untung dan Nasib Malang
  7. Diwan Syi’r Kabir (ديوان شعر)- dalam bentuk manuskrip.
  8. ‘Irab Al Quran wa Bayanuhu (اعراب القران وبيانه) – Karya ‘Irab Al Quran wa Bayanuhu ini adalah puncak pencapaian beliau dalam bidang sastera. Beliau telah mewakafkan kehidupannya selama 20 tahun untuk mengarang  kitab ini. Justeru, kitab ini menggambarkan keluasan ilmu kesusasteraan pengarang dari segi pemikiran, sastera, lughah dan turath.
 

Di dalam kitab ini Syeikh Muhyiddin juga telah mengumpulkan sekali kalam syair dan nasr ( karangan biasa bukan sajak . Kalam nasar beliau terkenal dengan bahasa yang harmoni dan lafaz-lafaz yang terpilih.

 

Beliau begitu teliti tentang apa yang beliau tulis, susun dan tahqiq. Beliau sangat berpegang kepada sastera dan lafaz yang antik dalam karangan dan syair beliau. Maka jadilah bahasanya itu bahasa yang harmoni, kukuh dan jelas.

 

Syeikh Muhyiddin Ad-Darwish juga memiliki akhlak yang mulia. Dia sedaya upaya menyembunyikan kefakiran dan kesengsaraan yang ditanggungnya. Beliau sentiasa keluar menemui masyarakat dengan wajah yang gembira dan ceria. Oleh itu, semua orang menyangka yang beliau hidup senang, tidak susah.

 

Oleh sebab itu, sesuai dengan keadaan ini, ada seorang penyair tidak dapat menahan diri daripada mengungkapkan kata-kata dalam syairnya:

 

Mereka berkata zaman telah menjadi tua,

Tetapi kamu masih di awang kemudaan.

 

Kamu ditimpa perkara-perkara yang menyiksakan,

Tetapi kamu tidak peduli dengan apa yang menimpa kamu itu.

 

Kesukaran telah berjalan di halamanmu,

Namun kamu tidak pernah mengadu tentangnya.

 

Kami melihat kamu penuh dengan kegembiraan,

Lembut..segar..sahaja kulitmu

 

Mabuk kerana kegembiraan yang melimpah,

Sehingga berpusing-pusing di setiap lorong,

 

Kamu sentiasa diberi kenikmatan,

Di antara melodi-melodi dan minuman yang memabukan.

 

Condong kepada kemekaran pipi,

mencari hirupan air di bibir.

 

Lalu ingin aku terangkan kepada mereka; Jangan kamu hairan,

Kenikmatan ini sebenarnya adalah gema kesengsaraan yang diluahkan.

 

Oleh itu Syeikh Muhyiddin terus kekal menjadi mashyur umpama sebuah bendera yang tinggi, penyair yang agung, sasterawan yang berkebolehan, ahli bahasa yang benar-benar pakar dan juga umpama satu struktur bangunan sastera yang bediri megah.

 

Syeikh Muhyiddin telah menyahut seruan Ilahi pada tanggal 9hb September 1982 dan dikebumikan di bandar Homs.

 

Moga-moga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang luas dan menggantikan kesengsaraannya selama ini dengan syurga.

 

Metod Penerbitan (kitab edisi ini)

 

  1. Menyusun semula format penulisan kitab.
  2. Melakukan pentashihan dan ‘pembersihan kesalahan’dalam cetakan terdahulu.
  3. Menyemak ‘dhab’ (ejaan) yang terdapat dalam ‘dewan’ koleksi-koleksi sastera.
  4. Memetik ayat-ayat Al-Quran yang diambil dari mushaf Al-Quran yang menggunakan khat Usman Thoha dan memastikan petikan-petikan ayat tersebut bebas dari kesalahan.
  5. Meletakkan nota kaki dan pentashihan (bacaan pruf).
  6. Meletakkan index bagi memudahkan pencarian.
  7. Melakukan pentahkikan kepada cetakan ini.
  8. Menggunakan dua warna tulisan iaitu hitam dan merah.
 

Oleh

Yusuf Ali Badyuwiy

Damsel

27 Ramadan 1418H/25 Januari 1998.

 

Muqaddimah Jilid Pertama

 

Selepas puji-pujian kepada Tuhan, juga selawat dan salam Penghulu para Rasul dan para Nabi. Kitab “I’rab Al-Quran wa Bayanuhu” ini telah dikurniakan kemunculann buat julung kalinya setelah ia lama tersembunyi dari pengetahuan ramai dan setelah ia memiliki ramai murid . Berkemungkinan ini adalah kitab pertama mengumpulkan segala keterangan justeru ia mudah mengingatkan pembaca dan juga melakarkan jalan yang lurus dan jelas dalam kepayahan uslub adabi.

 

[Ramai yang memohon aku menerangkan metode penulisanku dalam kitab ini]. Aku tidak akan menjelaskannya kerana kitab ini sebenarnya adalah petikan-petikan dari imam-imam yang pakar dalam mejelaskan sesuatu. Oleh itu kitab ini sebaik-baik jawaban bagi mereka yang mencari-cari penjelasan. Aku sekali-kali tidak akan bercakap mengenainya kerana kitab ini lebih layak untuk memperkatakan tentang dirinya sendiri.

 

Seperti kata-kata Syair:

 

Sebagaimana kesturi, zat baunya yang keluar telah menerangkan tentang dirinya,

Bukannya oleh  apa yang cuba diterangkan oleh penjualnya.

 

Aku telah menjadikan kitab ini dalam beberapa juzuk supaya mudah untuk menggunakannya. Oleh itu mereka yang ingin memilkinya  tidak lagi perlu kepada  kitab yang lain yang menyentuh tentang ‘Irab dan Bayan. Selepas ini kitab ini akan menjadi pemutus kepada kitab-kitab yang lain seperti perumpamaan Arab mengatakan: “Jahizah telah memutuskan semua kata-kata orang yang mencadangkan” bermakna kata-kata Jahizah sahaja yang akan dipakai.

 

[Nota: Peribahasa Arab ini diluahkan oleh seorang hamba perempuan ketika dua kabilah berselisih samada diyat perlu dibayar atau qisas setelah salah seorang daripada mereka dibunuh oleh kabilah yang satu lagi. Dalam majlis mereka itu tiba-tiba datanglah Jahizah mengatakan: “Pembunuh itu telah berjaya ditangkap oleh kaum kerabat mangsa bunuh, lalu mereka membunuhnya”. Kata-kata Jahizah itu adalah kata pemutus supaya pembunuh itu dibunuh. Lama kelamaan kata-katanya ini dipakai untuk menyatakan perkara yang menjadi kata pemutus]

 

Muhyiddin ad-Darwish

Homs,

Jamadil Awal 1400H/April 1980

 

 
  • December 27, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>