Huruf-huruf Muqatta`aat

 

SURAH AL-BAQARAH

 

Kebanyakan ulama berpendapat secara rajih bahawa surah-surah yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta`aat adalah sebenarnya nama bagi surah tersebut (misalnya Surah al-Baqarah juga dinamakan surah alif lam mim). Namun pandangan ulama berbeza-beza tentang hakikat makna dan hikmah huruf-huruf tersebut. Berbagai-bagai makna diberikan sehinggakan menjadi sukar (kalaupun kita tidak mengatakan mustahil) kepada pengkaji Al-Quran untuk memahami maknanya secara menyeluruh. Atas dasar ini mungkin kita boleh bahagikan pandangan ulama ini kepada dua bahagian:

 

1.Pendapat yang menggolongkan huruf-huruf ini sebagai perkara yang mutasyabih bihi yang lazimnya kita hanya menyerahkan urusannya kepada Allah. Oleh itu autoriti yang diberikan kepada kita untuk menafsirkannya, boleh dikatakan terhad kepada penafsiran para sahabat dan tabii. Dengan yang demikian, ulama daripada golongan ini mengatakan bahawa: ”Tidak termasuk sedikitpun dalam apa yang dikatakan agama jika seseorang memayah-mayahkan dalam urusan agama sehingga dia terpaksa mencipta alasan-alasan untuk menyokong hujahnya. Amat sedikit sekali pencipta alasan itu terselamat daripada tergelincir dalam penafsiran mereka”.

 

2. Pendapat yang menganggap huruf-huruf ini sama seperti ayat-ayat lain yang terdapat dalam Al-Quran. Maka dengan sebab itu menjadi wajib kepada kita memperkatakan tentangnya, mengukur kedalaman maknanya dan memahami secara mendalam makna-makna yang terkandung di dalam lipatan-lipatannya. Ini kerana beramal dengan firman Allah SWT:

 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ

Apakah mereka tidak mentadaburi Al-Quran

 

(Surah An-Nisaa’ ayat 82)

 

Berdasarkan pandangan ini kami mentarjihkan makna huruf-huruf muqatta`aat ini sebagai mempunyai makna tahaddi (cabaran) dan irhaas (peringatan). Maksudnya cabaran dan peringatan kepada orang-orang Arab bahawasanya Al-Quran itu disusun daripada huruf-huruf yang sama yang digunakan oleh mereka juga di dalam syair-syair dan ucapan mereka. Sungguhpun begitu, terbukti sukar bagi mereka untuk mendatangkan sesuatu yang sama dengannya atau menirunya. Penafsiran sebegini selari dengan ijaz Al-Quran (ketinggian Al-Quran) yang merupakan ciri-ciri unggulnya.

 

Menurut Ensiklopedia Islam (Dairatul Ma’arif Islamiyyah) dalam pembahasannya tentang Al-Quran, secara ringkas menyebut, bahawa ulama-ulama lesu dalam memahami makna huruf-huruf ini. Huruf-huruf ini muncul di permulaan 29 surah di dalam Al-Quran. Kesemuanya merupakan surah Makkiyah melainkan dua surah yang pertama iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali Imran, yang turun di zaman Madinah. Jumlah huruf-huruf munqata`aat  yang berulang ini pula ialah sebanyak 14 huruf kesemuanya.

 

Dr. Zaki Mubarak (1892-1952) yang merupakan seorang sasterawan Arab telah membuat satu kajian yang menakjubkan kita semua terhadap topik ini dalam kitabnya, Al-Nathru Al-Fanni (Seni Prosa). Antara yang menarik ialah perbualan Dr. Zaki dengan seorang ahli Falsafah yang juga sasterawan Perancis, Maurice Blanchot (1907-2003) tentang permulaan surah. Dr. Zaki berpendapat pandangan Maurice Blanchot boleh diperdalami dan dikaji secara ilmiah. Menurut Blanchot:

 

“Huruf-huruf الم . الر. حم . طسم menyerupai huruf-huruf AOI yang ditemui pada karya-karya chan son de geste (puisi epik Perancis) yang antara lain berfungsi sebagai satu alunan ritma kepada suatu melodi yang ditunjukki oleh satu huruf, dua atau kadangkala tiga huruf. Ia juga merupakan simbolik kepada nada suara”.

 

Oleh itu, tidak mustahil kalau kita menganggap bahawa huruf-huruf di permulaan itu berperanan sebagai isyarat suara untuk menarik tumpuan dan nada bacaan kita kepada cara bacaan yang tartil. Mungkin apa yang dikemukakan oleh Dr. Zaki Mubarak mempunyai hubungan dengan pendapat sebelum ini, iaitu sebagai tahaddi (cabaran) dan ketukan peringatan kepada mereka yang berbangga-bangga. Terutamanya kepada mereka yang mengkaji Al-Quran secara mendalam. Lazimnya mereka ini memahami unsur balaghah Al-Quran dan dapat membezakan ketinggian ilmu bayannya.

 

Hal ini disokong pula oleh kenyataan As-Sayuti dalam kitabnya yang menarik, Al-Itqan. Beliau menyatakan bahawa huruf-huruf itu bertujuan memberi kejutan kepada orang Arab yang merupakan orang yang fasih dan mahir dalam balaghah dengan menggunakan cara yang agak asing bagi mereka. Ini akan menarik perhatian mereka untuk memberi lebih tumpuan dan membuka fikiran mereka terhadap kehebatan Al-Quran.

 

(ريب) bermakna keraguan, kegelisahan.

 

Sabda Rasulullah (saw)

 

دع ما يريبك إلى ما لا يريبك


Tinggalkan keraguan kamu kepada apa tidak kamu ragukan.


Dari segi bahasa ريب mempunyai 3 makna:

 

1. شك iaitu keraguan.Makna ini apa yang dimaksudkan oleh teks Al-Quran.

 

2.تهمة iaitu tuduhan. Seperti kata-kata Jamil, penyair zaman Umayyah dalam syairnya

 

بثينة قالت : يا جميل أربتني - فقلت كلانا يا بثين مريب

Berkata Busainah: Wahai Jamil kamu telah menuduh aku……Lalu aku menjawab: Kita berdua Wahai Busainah melakukan penuduhan

 

3. حاجة iaitu hajat. Seperti ucapan Ka`ab b. Malik

 

قضينا من تهامة كل ريب - وخيبر، ثم اجممعنا السيوف

Kita telah menyelesaikan di Tahamah setiap hajat (kita)…begitu juga di Khaibar, kemudian kita merehatkan pedang-pedang (dgn tidak lagi berperang)

 

(ينفقون) bermakna membelanjakan atau menggunakan. Setiap perkataan yang fa kalimahnya ialah huruf ن dan diikuti dengan ‘ain kalimahnya huruf ف, ini akan menunjukkan makna keluar atau pergi. Contohnyaنفث iaitu mengeluarkan sesuatu dari mulut. Juga bererti رمى iaitu melemparkan.

 

Ungkapan-ungkapan ini boleh diperhatikan dalam kalam arab samada dalam bentuk kata kerja (نفث, ينفث, نفق) atau kata nama (نفثة air ludahan) contohnya:

 

1-نفث في العقد bermaksud meniup pada simpulan.

2-لا بد للمصدوران ينفث bermakna orang yang sakit di dada mesti meludah keluar

3-وهذه نقثة مصدور bermakna, ini ludahan orang yang sakit dada.

4-نفق الحمار bermakna keluar roh, yakni keladai itu mati.

 

(المفلحون) iaitu orang yang memperoleh kejayaan, dan mencapai matlamat mereka. Maksudnya dibukakan kepada mereka berbagai-bagai kejayaan. Mengikut ilmu morfologi Arab perkataan yang fa kalimahnya ialah huruf ف dan diikuti dengan ‘ain kalimahnya huruf ل, ini akan menunjukkan makna انفتاح (terbuka) , dan شق (terbelah). Contohnya, فلق dan فلح yang kedua-duanya bermakna terbelah atau merekah. (Teks Arab I`rab Quran m/s36-38)

 

  • June 13, 2013
  • Basooir
  • Lesson

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>