Kupasan Kitab-kitab Penting Dalam Ilmu Al-Quran Bahagian 2

 

3. Al-Bayan Fi Gharib Irab Al-Quran oleh Abu Al-Barakat Ibn Al-Anbari

 

Ibn Al-Anbari memulakan kitabnya dengan satu muqaddimah yang ringkas. Kata beliau “Aku telah meringkaskan dalam kitab ringkas ini (iaitu kitab Gharib Irab Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya supaya mudah difahami. Dengan harapan semoga Allah memberi faedah dengan kehadirannya. Kerana sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kitab ini sepenuhnya membincangkan Irab Al-Quran dan menerangkan kepelbagaian bentuk Irab yang mungkin pada kalimah-kalimah yang terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran. “

 

Jarang sekali beliau mencampur adukkan syarahnya yang berbentuk nahu itu dengan syarah-syarah berbentuk ma`ani atau balaghah. Kemudian syarahnya diikuti oleh irab kalimat dari pelbagai sudut pandangan ulama. Oleh itu, kita dapati perbincangan Ibn Anbari berpindah dari satu ayat ke satu ayat berpandukan tertib susunan ayat-ayat tersebut, tetapi hanya menyentuh bahagian tertentu sahaja untuk diirab dan meninggalkan perkara yang sudah sedia maklum dan yang tiada kepelbagaian pandangan ulama.

 

4. Imla’ Ma Manna Bihi Ar-Rahman oleh Al-‘Akbari

 

Al-Imam Muhibbuddin Abu Al-Baqa’ Al-‘Akbari telah membuat satu catatan kitab yang penting – walaupun bersaiz kecil, tetapi padat dengan ilmu – dalam bidang Al-Quran, yang dinamakan Imla’ Ma Manna Bihi Ar-Rahman Min Wujuhi Al-Irab Wa Al-Qiraat Fi Jami’ Al-Quran.

 

Beliau menjelaskan dalam Muqaddimah kitab ini bahawa perkara utama yang perlu diberi tumpuan dalam Ulum Quran ialah:

i) ilmu yang asal dan pemutus kepada ulum-ulum yang lain.

ii) ilmu yang daripadanya terbit berbagai pandangan tentang pelbagai ulum.

 

Ciri-ciri inilah ciri Al-Quran yang pasti tiada kebatilan padanya samada ia dibatilkan oleh kitab terdahulu maupun mana-mana tulisan selepas kewujudannya. Ia diturunkan oleh Allah Yang Maha Bijaksana dan Yang selayaknya Mendapat Pujian. Ia adalah mukjizat sepanjang zaman. Ia menganugerahkan kepada manusia rahsia-rahsia makna yang tidak akan padam sama sekali. Ia merupakan ikatan Allah yang amat kukuh.

 

Al-‘Akbari menggambarkan nilai Irab Al-Quran dengan kata-kata:

 

Sesungguhnya jalan yang paling betul yang harus diikuti untuk memahami makna Quran dan untuk sampai kepada kelayakan untuk menjelaskan matlamat dan intipatinya ialah melalui pengetahuan tentang irab Al-Quran, mengetahui penerbitan kepelbagain maksud-maksud daripada sekelian sudut ungkapan yang diutarakan oleh Al-Quran dan pengamatan kepada bentuk-bentuk bacaan serta makna Al-Quran yang diriwayatkan oleh imam-imam yang dipercayai tentang ilmu mereka.”

 

Kemudian Al’-Akbari menjelaskan matlamatnya di dalam kitab ini di kalangan kepelbagaian kitab irab yang sudah sedia ada sebelum ini. Kata beliau:

 

Kitab-kitab yang ditulis dalam ilmu ini sangat banyak. Namun terdapat banyak perbezaan di antara susunan dan skopnya. Ada yang ringkas dari sudut saiz dan perbincangannya. Ada pula yang besar saiznya, panjang lebar kupasan irabnya dan bercampuk aduk pula antara irab dengan ilmu ma`ani. Jarang sekali ditemui kitab yang ringkas tetapi padat dengan ilmu. Oleh kerana itu, aku ingin menghasilkan sebuah kitab yang bertentangan dengan sifat-sifat kekurangan yang telah disebutkan itu. Untuk tujuan itu, aku menghadkan perbincangan dalam kitab itu kepada irab dan bentuk qiraat sahaja.”

 

5. Al-Bahr Al-Muhitd oleh Abu Hayyan Al-Andalusi

 

Abu Hayyan Al-Andalusi bertahun-tahun mengabdikan umurnya menyiapkan tafsir Al-Bahr Al-Muhitd. Beliau menyaring banyak isi penting daripada kitab-kitab terdahulu. Abu Hayyan mengamati pandangan-pandangan yang dikemukakan di dalam kitab-kitab itu dan kemudian meringkaskannya dan menguraikan mana-mana masalah yang timbul. Kenyataan-kenyataan yang mutlak akan diperincikan dengan qaid-qaidnya yang sesuai. Beliau turut menambah idea-idea unik  yang menyentuh ilmu bayan yang merupakan pengesan  kemukjizatan Al-Quran. Selain itu Abu Hayyan juga memperhaluskan ilmu irab dengan merujuk kepada lisan orang Arab dan ahli sasterawan Arab sendiri. “Betapa banyak sekali keindahan yang terhasil daripada pengabdian terhadap ilmu Bahasa Arab ataupun daripada pengamatan terhadap susunan nahu dan juga kebolehan menggunakan uslub-uslub nazam (seumpama syair) dan nathar (kalam biasa), juga hasil dari penguasaan terhadap kesenian ilmu khitab  (bicara) dan syair”

 

Antara manhaj yang diguna oleh Abu Hayyan sebagaimana yang dijelaskan beliau dalam muqaddimah kitabnya ini ialah susunan dan rangka kerjanya yang jelas yang membuatkan kitab ini menjadi satu rujukan asli bagi setiap masalah lughah dan nahu. Selain daripada merujuk permasalahan qiraat dan sanadnya, beliau turut menyelitkan kritikannya sendiri terhadap isu itu. Di samping itu beliau juga menyentuh sebab-sebab penurunan ayat. Maka tidak hairanlan kitab ini menjadi sumber rujukan utama kepada ahli-ahli nahu yang mendapat manfaat dari setiap permasalahan ilmu Al-Quran khususnya dalam bidang irab dan qiraat.

 

 

  • August 20, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>