Kupasan Kitab-kitab Penting Dalam Ilmu Al-Quran Bahagian 3

 

6. Al-Durr Al-Masun oleh Al-Samin Al-Halabiy.

 

Al-Imam Al-Samin Al-Halabiy telah menjelaskan dalam kitabnya Durr Masun bahawa,

 

“Seseorang yang berakal dan bijaksana wajib mengetahui perkara-perkara yang paling penting dalam lima cabang ilmu tentang ulum Al-Quran. Itupun selepas ia memahirkan diri dalam ilmu tajwid bacaan Al-Qurannya.

 

Ia mencangkupi lima ilmu iaitu Ilmu Irab, Ilmu Tasrif, Ilmu Fiqh Lughah, Ilmu Ma’ani dan Ilmu Bayan.

 

Banyak sekali dibahaskan tentang ilmu-ilmu ini di kalangan ulama. Mereka telah memberi penumpuan yang besar  terhadapnya. Semoga Allah membalas segala usaha mereka dengan sebaik-baik pembalasan di Hari Akhirat kelak.

 

Aku melihat lima ilmu ini sangat berkait rapat antara satu sama lain. Seorang peneliti yang melihat kepada sebahagian sahaja daripada ilmu ini tidak akan memperolehi  banyak manfaat jika dia meninggalkan yang lainnya. Jika seseorang itu mengenali apa itu fa’il, maf’ul atau mubtada’ sekadar misal, tapi tidak mengetahui bagaimana ditasrifkan dan diterbitkan kalimahnya, malah tidak tahu menahu nilai kedudukan nazamnya (kedudukan balaghahnya), pasti ia tidak mendatangkan faedah untuknya. Begitulah hal sebaliknya mengetahui nazam tetapi tidak mengetahui ilmu-ilmu yang lain lagi itu.”

 

Al-Samin Al-Halabiy telah menjelaskan tentang usahanya yang telah mengumpulkan banyak perkara-perkara penting tentang kelima-lima ulum ini. Bila beliau didatangi oleh keperluan menyatakan kaedah umum atau usul berkenaan dengan kelima-lima ilmu tersebut atau satu masalah yang bertaburan di mana-mana beliau akan menaqalkannya daripada kitab-kitab ulama dengan hanya menyebut pandangan-pandangan yang terpilih sahaja daripada pandangan mereka yang ahli dalam bidang tersebut.

 

Beliau bekerja keras untuk menyempurnakan mana-mana perbincangan bagi setiap issue yang dibangkitkan di dalam kitabnya.

 

Kitab ini – pada hakikatnya – adalah natijah atau hasil keberkatan umur dan masa yang dicurahkan oleh pengarangnya  sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Halabiy sendiri. Oleh itu, tidak syak lagi, kitab ini merupakan teras kepada perbincangan tentang ulum-ulum ini.”

  • August 23, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>