Kupasan Kitab-kitab Penting Dalam Ilmu Al-Quran

 

Terdapat beberapa kitab yang terserlah di antara kepelbagaian kitab yang ditulis dalam bidang Irab Al-Quran. Antaranya karangan Al-Zajjaj, Makkiy, Ibn Anbari, ‘Akbari, Abu Hayyan dan Al-Samin Al-Halabi.

 

Berikut dihidangkan kepada pembaca keterangan ringkas tentang kitab-kitab tersebut.

 

1. Ma`ani Al-Quran wa Irabuhu oleh Al-Zajjaj (311H)

 

Imam Al-Zajjaj Abu Ishaq Ibrahim bin Al-Sari, seorang ahli nahu yang berpusat di Baghdad pada zaman Abasyiah, telah menuils sebuah kitab ringkas  berkenaan Irab Al-Quran dan Ilmu Ma`aninya.  Kitab ini mungkin merupakan antara kitab peninggalan beliau yang paling penting yang ada di sisi kita sekarang.  Beliau menitikberatkan sudut Irab lebih daripada sudut ma`ani. Memetik kata-kata Al-Zajjaj dalam kitabnya:

 

”Di samping sudut keutamaan Irab, kami turut membincangkan tentang ma`ani dan tafsir, kerana kitab Allah itu sudah semestinya jelas sehingga boleh ditadabburkan sebagaimana firman Allah

 

[An-Nisa’:82] (أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ)

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? 

 

Dalam ayat ini Allah memerintahkan kita untuk bertadabbur dan merenung isi Al-Quran. Tetapi tidak memadai bagi seseorang untuk berbicara tentangnya melainkan berpandu kepada kaedah lughah yang betul atau berpandu kepada pendapat yang diriwayatkan daripada ulama yang ahli ”

 

Al-Zajjaj juga menumpukan kepada petafsiran Al-Quran. Dalam berbuat demikian beliau mengunakan tafsir Quran dengan Quran. Iaitu beliau membuktikan makna sesuatu ayat dengan ayat yang lain yang telahpun beliau bincangkan. Kadangkala, syarahnya yang terdahulu lebih jelas berbanding yang terkemudian. Beliau sememangnya seorang yang ahli dalam bidang ini. Hujahnya terbukti kuat dari sudut dalalah ayat sebagaimana kefahaman yang beliau kehendaki tentang ayat tersebut.

 
 

2. Musykil Irab Al-Quran oleh Makkiy bin Abu Talib (437H)

 

 Makkiy berasal dari Tunisia sebelum berhijrah ke Cordoba dan tinggal di sana selama 44 tahun. Kitab ini dikarang khusus untuk pengajian peringkat tinggi dalam permasalahan Irab Quran yang rumit dan Makna Ayat yang musykil atau komplikated. Ia dianggap kitab yang unik dalam subjek irab dan ayat musykil  dan juga unik dalam uslub yang digunakan.

 

Dalam kitab ini Makkiy membincangkan permasalahan irab yang sukar yang pernah ditempuhi oleh para ulama dan kemudian menafsirkankannya dengan mengemukakan dalil-dalil yang tuntas sambil mempertimbangkan cara pembentangan yang mudah dan ringkas supaya kitab ini menjadi sebagaimana yang dikata oleh beliau sendiri ibarat, -

  

“Bakul yang ringan, tempat yang mudah diambil dan dekat untuk dicapai bagi sesiapa yang ingin mengingatinya dan menjadikannya satu-satunya sumber rujukan”.

 

Oleh itu tujuan utama kitab ini ialah ijaz (ringkas) dan pembentangan masalah irab yang sukar sahaja.

 

Tidak hairanlah beliau mengkhususkan kitab ini untuk orang yang sudah mencapai peringkat tinggi dalam ilmu nahu. Ia bukan ditujukan kepada mereka yang hanya mengetahui istilah-istilah asas nahu seperti jar dan majrur, fa`il dan maf`ul atau mudhaf dan mudhaf ilaih.

 

Malah kata beliau: “Kami menyusun kitab ini khas untuk mereka yang sudah mengetahui ilmu nahu, fenomena nahu, sejumlah besar amil-amil nahu dan usul-usul nahu”.

 

  • August 14, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>