Muqadimah: Notis Tentang Irab Quran

 

Notis Tentang Irab Quran

Berkata Azhari seorang ulama lughah sezaman dengan Mutannabi ketika mengupas tentang makna Irab dari segi bahasa:

 

Irab dan Ta’rib mempunyai makna yang sama. Kedua-duanya bermakna Ibanah (penjelasan). Contohnya dalam penggunaan Arab dikatakan أَعْرَبَ عَنْهُ لِسَانَهُ bermaksud عَرَّبَ iaitu sama juga dengan makna أَبَانَ dan أَفْصَحَ yang kesemuanya bermakna menjelaskan dengan bahasa yang jelas. Oleh itu dinamakan Irab itu sebagai Irab dalam ilmu nahu disebabkan peranannya menjelaskan (tabyin dan idhah )makna ayat. Contoh-contoh lain penggunaan Arab tentang mana kalimah Irab atau ta’rib ialah:

 

1) عَرَّبَ مَنْطِقَهُ bermakna هَذَّبَه مِنَ اللَّحْنِ membersihkannya daripada kesalahan pertuturan. 

2) أَعْرَبَ كَلاَمَهُ iaitu apabila dia tidak membuat kesalahan dalam bertutur Arab yang fasih.” 

Berkata Abu Bakar ibnu Anbari dalam memperkuatkan tentang kepentingan Irab Quran: Banyak hadith dan athar daripada Nabi saw, sahabat baginda dan juga tabie yang meriwayatkan tentang bagaimana mereka melebihkan kedudukan Irab Quran, menggalakkan untuk mempelajarinya, mencela lahn (kesilapan dalam bertutur) dan tidak menyukai jika berlaku perkara sedemikian, yang menyebabkannya ia menjadi wajib kepada pembaca Al-Quran untuk berusaha mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh. Antaranya ialah:

 

1) Sabda Nabi saw daripada Abu Hurairah: “Nyatakanlah Quran dengan jelas (yakni Irab) dan carilah makna-makna kalimahnya yang gharib”. [Status hadith ini dhaif]

2) Sabda Nabi saw: “Perjelaskanlah tutur kata kamu (yakni Irab) supaya kamu dapat menuturi dan memahami Quran dengan jelas”. [Status hadith ini dhaif]

3) Sabda Nabi saw daripada Anas bin Malik: Sesiapa membaca Quran dengan mutathabbit atau dengan Irab (jelas) maka baginya pahala satu huruf sama dengan empat puluh kebaikan”. [Diriwayatkan oleh Baihaqi dlm Syuab Al Iman. Status sanadnya dhaif]

4) Berkata Ibnu Athiah: Irab Quran ialah asal dalam (memahami) syariah kerana dengannya makna Al-Quran dapat difahami. Makna inilah yang merupakan syara`.

 

Kenyataan ini juga disokong oleh Abu Baqa’ ‘Akbari sebagaimana yang dinyatakannya dalam pendahuluan kitabnya yang berjodol “Catitan Apa Yang Dianugerahkan oleh Al-Rahman Tentang Bentuk-Bentuk Irab”

 

“Sesungguhnya jalan yang paling betul yang harus diikuti untuk memahami makna Quran dan untuk sampai kepada kelayakan untuk menjelaskan matlamat dan intipatinya ialah melalui tiga perkara:

i. Pengetahuan tentang irab Al-Quran,

ii. Penerbitan kepelbagain maksud-maksud daripada sekelian sudut ungkapan yang diutarakan oleh Al-Quran.

iii. Penglihatan kepada bentuk-bentuk bacaan serta makna Al-Quran yang diriwayatkan oleh imam-imam yang dipercayai tentang ilmu mereka.

 

Oleh itu bagi sesiapa yang ingin meneliti Kitab Allah dan mengetahui rahsia-rahsia yang ada di dalamnya maka hendaklah dia mempertimbangkan dua perkara berikut:

i) Perhatian yang besar tentang sudut bahasa Arab,

ii) Pengetahuan tentang ilmu Irab yang merupakan penjelasan kepada makna-makna Al-Quran menerusi lafaz-lafaznya.

 

Ilmu Irab merupakan ilmu yang sangat penting yang dikhususkan kepada masyarakat Arab. Menerusi ilmu ini makna-makna yang terdapat dalam sesuatu kalam dapat dibezakan. Begitu juga dengannya dapat difahami (i) tujuan dan maksud setiap mutakallim (orang yang bercakap) menerusi kalam mereka, (ii) kaedah kalam bahasa Arab dan (iii) susunan ayat-ayat mengikut kesesuaian uslub ilmu ma`ani atau balaghah.

 

Tidak dapat disembunyikan lagi kebenaran bahawa Ilmu Irab termasuk sudut yang terpenting yang diambil perhatian oleh para alim, fuqaha dan muhadith kerana makna sesuatu ayat berubah dan berbeza mengikut perbezaan Irab. Oleh itu semestinya ia diberi perhatian.

 

Jika seseorang ingin menceburi diri dalam usaha menjelaskan makna-makna kalam Arab yang multabis (tidak jelas) tanpa beliau memahami ilmu Irab maka kepincangan ini tidak memungkinkan beliau mampu melakukannya. Tidak mudah untuk memahaminya melainkan dengan kebolehan menganalisa bahasa, mufradat, partikel dan kalimah-kalimah penyambungnya.

 

 

  • July 23, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>