Khabar (Hadith) Gharib

 

 

Definisi dari sudut bahasa

Lafaz غريب adalah bentuk sifat musyabbahah dalam istilah morphologi bahasa Arab. Ia bererti `yang berseorangan atau bersendirian`. Juga bermakna `yang berjauhan dari saudara maranya (atau tanah airnya)`.

 

Dari segi Istilah

Hadith yang seorang perawi berseorangan dalam meriwayatkannya.

 

Huraian definisi

Iaitu hadith yang seorang perawi berseorangan meriwayatkannya sama ada pada setiap tabaqat sanad atau pada sebahagiannya walaupun pada satu tabaqat sahaja. Takrif gharib tidak terjejas dengan adanya lebih daripada seorang perawi pada tabaqat-tabaqat yang lain kerana yang diambil kira ialah had minimum.

 

Nama lain bagi hadith gharib

Ramai dari kalangan ulama menyebut hadith gharib dengan nama lain iaitu fard dan dikatakan sama makna.Tetapi sebahagian ulama membezakan antara makna gharib dan fard. Dengan itu mereka menjadikan kedua-duanya sebagai bentuk yang berasingan. Akan tetapi Hafiz Ibnu Hajar menganggapnya semakna dari segi bahasa maupun istilah. Bagaimanapun beliau menambah dengan katanya: Ulama hadith membezakan antara fard dan gharib dari sudut kebiasaan digunakan sahaja iaitu samada banyak digunakan atau kurang digunakan. Contohnya para muhadith lebih banyak menyebut fard bagi mewakili fard mutlaq dan gahrib pula bagi mewakili fard nisbi.

 

Bahagian–bahagian Gharib

Gharib dibahagikan kepada dua bahgian iaitu gharib mutlak dan gharib nisbi jika dilihat dari sudut tempat tafarrud (keadaan bersendirian atau berseorangan).

a. Gharib Mutlak atau Fard Mutlaq

Iaitu hadith yang dikatakan gharabah, tafarrud atau keadaan bersendirian berlaku di suatu tempat dalam rantaian sanad apa yang dinamakan sebagai asal sanad . Maksudnya hadith yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan periwayatannya pada asal sanad. Asal sanad yang dimaksudkan ialah tabaqah sahabat.

Contohnya hadith:

 

انما الاعمال بالنيات

Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat

 

Sayyidina Umar bin Al-Khatab dikatakan berseorangan (تَفَرَّدَ telah tafarrud) meriwayatkan hadis ini. Tidak ada sahabat yang lain meriwayatkannya selain dari beliau. Kadang kala tafarrud berterusan sehingga akhir sanad dan kadang-kadang ramai pula perawi meriwayatkan daripada perawi yang berseorangan itu (Mutafarrid)

 

b. Garib Nisbi

 

Iaitu hadith yang dikatakan gharaba pada pertengahan sanad (asalkan bukan pada asal sanad). Maksudnya lebih daripada seorang perawi yang meriwayatkan pada asal sanad (tabaqat sahabat) kemudiannya seorang perawi berseorangan meriwayatkannya daripada perawi-perawi itu.

Contohnya hadith Malik daripada Zuhri daripada Anas r.a bahawa:

 

أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة عام الفتح وعلى رأسه المغفر

Rasululah s.a.w memasuki Mekah dalam keadaan memakai mighfar (topi besi)

 

Malik telah berseorangan meriwayatkannya daripada Zuhri sebab itu dinamakan gharib nisbi.

Sebab dinamakan bahagian ini gharib nisbi ialah kerana tafarrud berlaku dengan mengaitkannya (nisbah) dengan individu tertentu. Ini disebabkan dikalangan murid-murid Zuhri hanya Malik yang meriwayatkan hadis ini. Malik sudah tentu bukan pada tabaqat asal sanad. Adapun jika terdapat murid Zuhri yang meriwayatkan hadith seumpama ini maka hadith mereka terdedah kepada kecacatan.

 

Antara bentuk hadith gharib nisbi

Terdapat beberapa bentuk gharabah atau tafarrud yang boleh dikira sebagai gharaib nisbi kerana gharabah padanya tidak mutlak. Gharabah pada gharib nisbi wujud secara nisbah atau merujuk kepada sesuatu yang tertentu.

Bentuk-bentuk itu ialah:

1. Tafarrud thiqah dengan periwayatan hadith seperti kata-kata ulama hadith: Tidak seorang pun thiqah yang meriwayatkannya kecuali si fulan.

2. Tafarrud perawi tertentu daripada perawi tertentu: Seperti kata ulama hadith : “Perawi itu berseorangan meriwayatkan daripada si fulan. Walaupun diriwayatkan dengan sanad atau dengan jalan yang lain melalui perawi yang lain.

3. Tafarrud penduduk negeri atau kawasan tertentu seperti kata ulama hadith iaitu diriwayatkan oleh ahli Mekah atau ahli Syam.

4. Tafarrud penduduk suatu negeri daripada penduduk negeri lain atau suatu kawasan daripada kawasan lain seperti kata mereka: Tafarrud penduduk Basrah daripada penduduk Madinah atau tafarrud dalam meriwayatkan hadith ini penduduk Syam daripada penduduk Hijaz.

 

Pembahagian lain

Dari segi Gharabah sanad dan matan, Ulama hadith membahagikan gharib kepada:

a. Gharib matan dan sanad.

Iaitu hadith yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan matannya.

b. Gharib sanad tidak matan

Seperti hadith yang matannya diriwayatkan oleh sekumpulan perawi daripada kalangan sahabat kemudian seorang perawi berseorangan meriwayatkan daripada sahabat yang lain berkenaan dengan hadith ini Imam al-Tirmizi menyebut “gharib min haza al-wajh” gahrib dari wajah ini atau jalan ini.

 

Karya-karya Umum yang terdapat banyak hadith gharib 

1. Musnad al-Bazzar

2. Al-Mu’jam al-Awsat – oleh al-Tabarani

 

Karya -karya Khusus yang terkenal tentang hadith gharib

1. “Gharaib Malik” karangan al-Daruqutni

2. “Al-Afrad” juga oleh al-Darulqutni

3. “Al-Sunan allati Tafarrada bikulli Sunnah minha ahlu baldah” oleh Abu Daud al-Sajistani.

 

 

 

  • June 28, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>