Khabar Mutawatir

 

Pembahagian Hadith atau Khabar

a) Pembahagian khabar dari aspek bagaimana ia sampai kepada kita

b)  Khabar yang diterima (maqbul)

c) Khabar yang ditolak (mardud)

d) Khabar yang berkongsi sifat maqbul dan mardud

 

Pembahagian Khabar Dari Aspek Sampainya Kepada Kita

Terbahagi kepada dua

i)  Bilangan turuq (jalan-jalan) yang dilaluinya tidak dihadkan, dinamakan Mutawatir

ii) Bilangan turuq terhad dan dapat ditentukan, dinamakan Ahad

 

Khabar Mutawatir

 

Ta’rif Khabar Mutawatir

i) Dari segi bahasa

Isim Fa’il yang diterbitkan daripada masdar التوتر bermaksud berturutan.

 

ii) Dari segi istilah

Khabar yang perawinya ramai sehingga mustahil bagi mereka bersepakat untuk berdusta tentangnya.

 

Huraian: Khabar Mutawatir ialah hadith atau khabar yang mempunyai bilangan perawi yang ramai pada setiap tabaqah (peringkat) sanad sehingga akal menolak kemungkinan mereka bersepakat untuk berdusta atau; berlaku pendustaan melalui hadith yang diriwayatkan oleh mereka.

 

Syarat Khabar Mutawatir

Sesuatu khabar akan disahkan sebagai Mutawatir bila memenuhi kesemua empat syarat ini

i) Hendaklah diriwayatkan oleh ramai perawi. Ulama berbeza pendapat tentang had bilangan minimum. Pendapat yang utama ialah 10   orang.

ii) Bilangan yang ramai mestilah pada setiap tabaqah, dari awal hingga ke akhir

iii) Tidak logik dari segi akal berlakunya konspirasi untuk berdusta terhadap khabar itu

iv) Pengkhabaran hendaklah bersandar kepada hiss (daya deria bukan akal)

Contohnya perawi berkata سمعنا (kami dengar), رأينا(kami lihat),لمسنا (kami sentuh) dan sebagainya. Jika bersandar kepada akal sahaja tidak dinamakan mutawatir. Seperti kata Ahli Falsafah Yunani “Alam ini qadim (sedia ada)”. Kenyataan ini adalah aqli semata-mata.

 

Hukum Khabar Mutawatir

Khabar Mutawatir member faedah Ilmu al-Daruri (الضروري)  iaitu yaqini اليقيني, ilmu yang memaksa manusia membenarkannya. Contohnya seseorang yang menyaksikan sesuatu peristiwa berlaku di hadapannya, akan meyakini kebenarannya. Begitu juga halnya dengan khabar mutawatir. Ulama bersepakat bahawa hadith mutawatir adalah maqbul (diterima) tanpa perlu diteliti keadaan perawinya.

 

Pembahagian Khabar Mutawatir

Terbahagi kepada dua bahagian iatu lafzi dan maknawi

i) Mutawatir Lafzi ialah khabar yang mutawatir dari segi lafaz dan makna seperti hadith:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah tempat tinggalnya di dalam neraka

Diriwayatkan lebih daripada 70 sahabat.

 

ii) Mutawatir Maknawi ialah khabar yang mutawatir dari segi maknanya sahaja, tidak dari segi lafaz.

Seperti hadith-hadith yang berkaitan dengan menadah kedua tangan ketika berdoa. Disandarkan pada Rasulullah (saw) dalam hampir seratus hadith . Dalam setiap hadith diriwayatkan perbuatan mengangkat tangan walaupun lafaz-lafaz yang digunakan berbeza-beza. Oleh itu hadith mengangkat tangan ketika berdoa ialah mutawatir dari segi makna walaupun tidak dari segi lafaz.

 

Kewujudan Khabar Mutawatir

Terdapat bilangan yang cukup banyak hadis mutawatir antaranya hadis tentang kolam Rasulullah saw di hari Akhirat, menyapu khauf, mengangkat dua tangan di dalam solat, hadis “semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar hadis” dan banyak lagi.

Bagaimana pun kalau dibandingkan dengan hadis ahad, bilangan hadis mutawatir sangatlah sedikit.

 

Kitab Rujukan Masyhur

Ulama telah berusaha menghimpunkan hadith-hadith mutawatir dalam kitab-kitab khusus. Antaranya:

a)    “Al-Azhar al-Mutanathirah Fi-al-akhbar al-Mutawatirah” karangan Imam al-Suyuti. Kitab ini disusun mengikut bab-bab.

b) “Qatf al-Azhar juga karangan al-Suyuti” yang merupakan ringkasan kitab yang pertama.

c) “Nazm al-Mutanathir Min al-Hadith al-Mutawatir” karangan Muhammad bin Ja’far al-Kattani.

  • May 16, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>