Khabar (Hadith) Ahad

 

 

1-Takrifnya:

 

Dari segi bahasa: آحَدٌ  aahad adalah jamak bagi أَحَدٌ ahad sama makna dengan وَاحِدٌ wahid yang bermaksud satu (walaupun bentuk  ٌوَاحِد bentuk sifat yang bermakna `yang pertama` tetapi juga digunakan untuk bermakna `satu`). Oleh itu Khabar Wahid  ialah khabar yang diriwayatkan oleh seorang individu.

 

Dari segi istilah: Khabar Ahad ialah khabar yang tidak memenuhi syarat mutawatir sebagaimana yang ditakrifkan oleh Ibn Hajar dalam Nuzhat Al Nazar.

 

2-Hukum:

 

Khabar  Ahad menghasilkan ilmu nazari iaitu ilmu yang bergantung kepada pengamatan dan pendalilan bercanggahan dengan ilmu yaqini dalam khabar mutawatir sebelum ini yang tidak perlukan kepada pengamatan dan pendalilan..

3-Bahagiannya Berdasarkan Kepada Bilangan Periwatan Perawinya (Toriqnya):

 

i. Masyhur

ii. Aziz

iii. Gharib

 

Khabar (Hadith) Masyhur

 

1-Takrif:

Dari segi bahasa:Kalimah مَشْهُور ialah bentuk  اِسْمُ مَفْعُول daripada ungkapan orang Arab misalnya kata mereka  شَهَرْتُ الْأَمْرَ`saya menjadikan perkara itu terkenal`, ertinya hal itu terjadi apabila saya telah mengumumkan dan menjadikan ia zahir kepada orang lain. Oleh itu  dinamakan khabar itu masyhur kerana melihat kepada faktor penzahirannya.

 

 

Dari segi istilah: Khabar Masyhur ialah khabar yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih pada setiap tabaqat  (peringkat perawi) tetapi banyaknya itu tidak mencapai taraf mutawatir.

 

2-Contohnya:

 

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ

 

Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan mencabutnya sekaligus…” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

 

3-Khabar Mustafidh 

Dari segi bahasa: Kalimah مُسْتَفِيضٌ adalah bentuk اسم فاعل daripada kata kerja اِسْتَفَاضَ `menyebar keluar` yang berpunca daripada kalimah sulasi mujarrad فَاضَ contohnya فَاضَ الْمَاءُ  `air telah melimpah keluar`. Oleh itu dinamakan khabar itu mustafidh kerana melihat kepada faktor ia tersebar keluar.

 

Dari segi istilah: Terdapat perbezaan pendapat tentang takrif mustafidh sebagaimana berikut:

 

a.  Mustafidh sinonim dengan masyhur.

b. Mustafidh lebih khusus daripada masyhur kerana disyaratkan bilangan perawi sama dari  permulaan sampai akhir sanad, tetapi tidak disyaratkan pula pada hadith masyhur.

c.  Mustafidh lebih umum daripada masyhur iaitu kebalikan bagi pendapat kedua.

 

4-Masyhur Bukan Istilahi

 

Iaitu hadith yang terkenal di kalangan orang ramai tanpa mempertimbangkan apa-apa syarat, asalkan terkenal. Oleh itu ia boleh mencangkupi samada:

 

a. hadith yang mempunyai satu sanad

b. hadith yang mempunyai lebih daripada satu sanad

c. hadith yang tidak mempunyai sanad sama sekali

 

5-Bentuk-Bentuk Khabar Masyhur Bukan Istilahi

 

Ianya mempunyai banyak bentuk, antaranya:

 

i. Masyhur di kalangan Ahli Hadith sahaja seperti hadith Anas:

 

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْراً يَدْعُو عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ

Bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w berqunut selama sebulan setelah ruku’ mendoakan keburukan ke atas kabilah Ri’l dan Zakwan.” 

 

Nabi berbuat demikian kerana mereka telah membunuh sahabat-sahabat Nabi saw yang bergelar Qurra`yang dikirimkan oleh baginda untuk berdakwah dan menyampaikan Quran kepada penduduk di Najd. Mereka dibunuh di Bi`r Ma`unah. Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Hadith ini diriwayatkan oleh  Sulaiman Taimiyy drp Abu Mijlaz drp Anas. Ramai orang menyangka bisanya Sulaiman Taimiyy meriwayatkan hadith secara langsung daripada Anas tanpa perantaraan. Namun riwayat ini ada perantaraan iaitu Abu Mijlaz. Di sisi pakar-pakar hadith ianya tidak pelik dan sudah masyhur di kalangan mereka tentang adanya perantara antara Sulaiman Taimiyy dan Anas ra. Inilah yang dimaksudkan dengan masyhur di kalangan ahli hadith.

 

ii.Masyhur di kalangan Ahli Hadith, ulama dan orang awam, contohnya;

 

اَلْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Orang Islam terselamat daripada orang islam yang lain daripada gangguan ucapan dan perbuatannya.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith ini sememangnya diketahui dan digunakan oleh semua peringkat masyarakat .

 

iii. Masyhur di kalangan fuqaha seperti hadith:

 

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللهِ الطَّلاَقُ

“ Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian.

 

Hadith ini terdapat di mana-mana kitab fekah di kala membicarakan masalah talak walaupun ahli ahdith mengatakannya dhaif. Lafaz yang sanadnya sahih di sisi Hakim dan Zahabi ialah:

مَا أحلَّ الله شَيْئا أبْغَضَ إِلَيْهِ مِنَ الطَّلاَقِ

“ Tiada yang Allah halalkan yang lebih dimarahinya melebihi daripada talak”.

 

iv.Masyhur di kalangan ulama usul seperti hadith:

 

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأُ، وَالنِّسْيَانُ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Tersilap, lupa dan dipaksa telah diangkat dari umatku, iaitu tidak dikira berdosa.”

 

Hadith ini disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.

 

Namun hadith ini telah ditahqiq kembali oleh Ibnu Mullaqan dengan mengemukakan lapan turuq periwayatan yang berbeza-beza. Menurut beliau hadith dengan lafaz رُفِعَ adalah dhaif walaupun dijatuhkan hukum hasan oleh Imam Nawawi dalam kitab Raudhah. Begitu juga Ibnu Hajar dalam kitab  Al-Talkhis Al-Habir menyatakan kehairanannya tentang kemasyuhran hadith ini dalam kitab-kitab fekah dan usul fekah walaupun lafaznya tiada dalam kitab-kitab hadith. Walaupun ada satu hadith yang lafaznya agak sama dengan lafaz hadith ini seperti riwayat Ibnu Adi dalam kitab Al-Kamil tetapi perawinya terdedah kepada kedhaifan.

 

v. Masyhur dikalangan ahli-ahli Nahu: seperti hadith:

 

نِعْمَ الْعَبْدُ صُهَيْبٌ لَوْ لَمْ يَخَفِ اللهَ لَمْ يَعْصِهِ

Sebaik-baik hamba ialah Suhaib. Dia tidak akan menderhakai Allah bukan hanya kerana takut kepada Allah (malah kerana malu kepada Allah, kerana imannya kepada Allah dan sebagainya)”

 

Hadith tidak diketahui sumber

 

Allamah Aini dalam Umdatul Qari mengaitkan kata-kata ini kepunyaan Umar tetapi tidak dipersetujui oleh Imam Sayuthi yang cenderung mengatakan ia bukan hadith dan tidak juga athar Umar ra.

Kata-kata ini terkenal di kalangan ahli nahu untuk menunjukkan peranan kalimah لَوْ yang kadang-kadang tidak digunakan untuk menunjukkan maknanya yang asli.

 

vi. Masyhur di kalangan masyarakat. Seperti hadith

 

اَلْعَجَلَةُ مِنَ اَلشَّيْطَانِ

Kegopohan itu daripada syaitan.”

 

Ditakhrijkan oleh al-Tirmizi sebagai hasan.

 

6-Hukum Masyhur

 

Hadith masyhur `menurut istilah` dan `bukan istilah` secara keseluruhan tidak boleh dikatakan sebagai sahih atau tidak sahih, kerana antaranya ada yang sahih, hasan, daif bahkan terdapat juga maudu’. Bagaimanapun jika hadith masyhur `menurut istilah` itu sahih maka ia mempunyai keistimewaan yang mengatasi hadith aziz dan gharib.

 

7-Penulisan-penulisan yang terkenal

 

Yang dimaksudkan dengan karangan tentang hadith masyhur di sini ialah hadith-hadith masyhur di kalangan orang ramai, bukan masyhur dari segi istilah. Antara karangan-karangan tersebut ialah:

 

1. “al-Maqasidu l-Hasanah fima shytahara `ala l-alsinah” karangan Al-Sakhawi.

 

2. “Kasyf u l-Khafa’ wa muzilu l-Ilbas fima shytahara `ala alsinati n-Nas” karangan al’-Ajluni.

 

3. “Tamyizu t-Tayyib mina l-khabithi fima yaduru `ala alsinati n-Nas mina l-hadith” hasil tulisan Ibn al-Dayba` al-Syaibani.

  • May 26, 2013
  • Basooir
  • Lesson / Tafaqquh

Leave a Reply

Your email address will not be published.


You may use these HTML tags and attributes: %s
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>